DOTA2: “MidOne Keluar Atas Pilihannya Sendiri,” Pengurus, Gary Yeik

By Hazril Md Nor | November 6, 2019

Sebelum ini, kami melaporkan Team Secret kehilangan permata mereka iaitu pemain harapan negara, Yeik Nai Zheng (MidOne) yang tidak lagi bermain untuk skuad itu.

Laporan dari IGN SEA bagaimanapun mendedahkan keputusan itu dibuat atas kerelaannya sendiri. Jawapan ini diberikan oleh pengurusnya, Gary Yeik merangkap abang kepada Zheng. 

Dia dalam temubual tersebut mengatakan MidOne meninggalkan Secret kerana kepenatan. Ia dibuat atas pilihannya sendiri dan bukan oleh Team Secret.

Ini sekali gus membunuh segala tanggapan yang dia dibuang dari Team Secret kerana prestasi kurang baik di TI9. Dia keluar dengan cara yang baik dan hubungannya bersama Team Secret masih baik seperti sediakala.

Dalam laporan tersebut juga menyebut yang abangnya menjangkakan MidOne akan menubuhkan pasukannya sendiri sekiranya dia kembali aktif bermain Dota 2. Namun, ini semua hanyalah spekulasi dan bukan rasmi dari mulut pemain negara itu sendiri.

Kita sendiri tahu MidOne sudah lama bermain untuk skuad Eropah itu dan dia terpaksa menempuh cabaran seperti berjauhan dengan keluarga, perlu ke luar negara beberapa kali dan berbeza zon masa jadi cuti yang panjang ini adalah sangat diperlukan.

Mengikut rekod kariernya sebagai atlet e-sukan, dia hanya bermain untuk dua pasukan saja iaitu Fnatic pada 2015-2016 manakala Secret bagi jangka masa tiga tahun (2016-2019).

Dia membantu pasukannya memenangi banyak kejohanan Major oleh Valve dan pertandingan terkemuka Dota 2 yang lain. Bersama skuad Eropah itu, MidOne pernah mencatatkan kedudukan keempat di The International 2019.

(Sumber: IGN SEA // Foto: Team Secret)