EVOS Esports umum tajaan dan kerjasama bersama Armaggeddon

By Hazril Md Nor | July 29, 2020

Organisasi e-sukan terkemuka di Asia Tenggara, EVOS Esports baru-baru ini mengumumkan tajaan baru daripada Armaggeddon untuk pasukan Singapura dan Malaysia.

Tajaan itu termasuklah kelengkapan untuk penstriman langsung seperti PC, monitor, papan kekunci, tetikus dan fon kepala; yang akan digunakan untuk menghasilkan kandungan berkualiti.

Menerusi tajaan ini, EVOS Esports akan menghasilkan video yang mengetengahkan produk Armaggeddon termasuk integrasi jenama dengan jersi EVOS Esports selain kerjasama menerusi kempen media sosial dan acara komuniti dalam talian.

Armaggeddon sudah lama berada dalam arena e-sukan Singapura dan Malaysia dan pastinya kerjasama ini akan terus memberikan impak positif terhadap e-sukan di rantau ini.

“EVOS Esports teruja untuk bekerjasama dengan Armaggeddon di Singapura dan Malaysia. Kami berterima kasih kepada Armaggeddon untuk kepercayaan dan sokongan terhadap EVOS Esports dan kami tidak sabar menantikan untuk kerjasama ini bagi menghasilkan kandungan berkualiti,” kata Ivan Yeo, Pengasas EVOS Esports.