Farming Simulator Umum Kejohanan E-Sukan Rasmi Dengan Hadiah Wang Terkumpul RM1.1 Juta

By Intan Mawarni | January 24, 2019

Bila korang terfikir tentang e-sukan, mesti FIFA, PUBG atau Mobile Legends terlintas di minda korang tetapi korang pernah terfikir e-sukan Farming Simulator?

Pembangun game, GIANTS Software mengumumkan Farming Simulator League, satu kejohanan e-sukan rasmi untuk Farming Simulator iaitu sebuah francais simulasi berusia 10 tahun ini yang membolehkan pemain untuk mengusahakan ladang sendiri seperti membela haiwan ternakan, menuai tanaman dan ceburkan diri dalam bisnes pertanian dan perladangan.

Kredit: Esports Observer

Farming Simulator League diwujudkan setalah pembangun telah mencuba initiatif e-sukan ini sejak dari tahun lepas. Kejohanan ini menampilkan 10 pertandingan bakal berlangsung di seluruh benua Eropah dan dihoskan di konvensyen gaming besar seperti Gamescom & Paris Games Week sebelum menuju ke liga akhir di FarmCon 2020 dengan hadiah lumayan kepada juara yang bakal memenangi hadiah wang €250,000 Euro (RM1.1 juta).

Macam mana pertandingan Farming Simulator ini dimainkan? Pasukan yang terdiri daripada 3 orang pemain akan mengambil seberapa banyak jerami mungkin yang diserakkan di seluruh ladang dengan menggunakan trak forklift dan menyusun timbunan di atas lori trailer. Kelihatan senang, kan? Jawapan untuk soalan itu: tidak.

Apa yang menarik tentang Farming Simulator adalah game ini benar-benar mengikut cara sebenar untuk mengusahakan ladang. Ia bermakna memandu trak atau forklift dalam game ini bukan macam korang senang-senang memandu kereta dalam Grand Theft Auto. Kalau FIFA boleh pilih pemain dan pasukan terbaik, Farming Simulator juga memberi laluan kepada pemain untuk pilih forklift terbaik. Jadi, jangan terkejut kalau ada orang beli stereng khas semata-mata untuk main game ini.

Menurut CEO GIANTS Software, Christian Ammann berkata dalam kenyataan rasmi, “Berkebun secara kompetitif sudah lama dinikmati oleh ramai pemain tetapi belum lagi dilakukan dalam e-sukan setakat ini. Kami ada ramai peminat e-sukan dalam syarikat kami dan tidak sabar untuk menunjukkan menjaga kebun atau ladang boleh jadi seronok dan kompetitif dalam satu masa yang sama.”

“Kami percaya kami sudah jumpa gabungan berjaya antara berkebun di dunia sebenar dengan elemen yang membuatkannya seronok untuk dimainkan dalam game ini.”

Farming Simulator League juga dapat ‘menuai’ tajaan-tajaan besar seperti Logitech & Intel dan juga disokong oleh syarikat teknologi perladangan menurut laporan Esports Observer

Bukan setakat itu, pemain Farming Simulator 19 boleh nantikan mod game baru iaitu mod 3v3 kompetitif dalam masa akan datang.

Ikuti MyGameOn di Facebook dan YouTube untuk rangkuman berita gaming dan esports.