Fawzi Mesmar, bekas ketua rekaan DICE sertai Ubisoft

By Taib Mohamed | December 1, 2021

Ubisoft kini sudah melantik Fawzi Mesmar, bekas Ketua Rekaan bagi DICE sebagai Naib Presiden Editorial baharu mereka.

Pengumuman perlantikan itu dikongsikan melalui laman rasmi mereka di mana kehadiran Fawzi di dalam syarikat itu akan membantu syarikat itu “membentuk hala tuju kreatif” selain membantu mereka dalam memperkayakan proses produksi Ubisoft. 

“Di Ubisoft, Fawzi akan terus membina rekod mengetuai kumpulan yang berpelbagai, pasukan dari serata dunia berikutan pengalamannya bekerja di Jerman, Jepun, Jordan, New Zealand, Arab Saudi dan Sweeden,” kata Ubisoft.

Fawzi Mesmar sebelum ini berkhidmat di DICE sebagai Ketua Rekaan di mana dia mengetuai projek-projek seperti Star Wars: Battlefront II, Battlefield V dan Battlefield 2042. Dia juga berperanan dalam pembangunan Candy Crush selain sebagai Pengarah Studio, Produksi dan Rekaan Permainan di King.

Sebelum ini, Ubisoft pernah terpalit dengan isu budaya tempat kerja yang toksik yang mengakibatkan CEO Ubisoft, Yves Guillemot, berjanji untuk mengubah proses Sumber Manusia, penambahan tatakelakuan baharu dan melantik ketua-ketua baharu.

Sumber: GameSpot