FIFA 18: Luqman ‘Fenrir’ Haziq Berharap Lebih Banyak Kejohanan FUT Dianjurkan Di Malaysia

By Hazril Md Nor | May 15, 2018

PlayStation League Asia 2018 yang dianjurkan ESL Asia dengan kerjasama Sony PlayStation Asia baru saja berakhir minggu lalu. Satu-satunya wakil Malaysia, Luqman ‘Fenrir’ Haziq terpaksa akur dengan kekalahan awal 0-2 di tangan pemain Hong Kong.

Walaupun perjuangannya tak berjaya diteruskan, Fenrir berkongsi dengan penulis apa pendapatnya mengenai acara ini dan juga desas-desus mengenai mod FUT yang dikatakan kurang adil bagi sesetengah pemain. Apa pendapat pro player untuk mod ini? Adakah ia patut disertakan dalam kejohanan FIFA di Malaysia?

MGO: Hai Fenrir! Terima kasih kerana mengambil kesempatan untuk temu bual. Jadi boleh ceritakan sedikit mengenai perlawanan tadi?

Fenrir: Sebenarnya haritu, saya banyak buat serangan dan defence pun cukup bagus tapi mungkin rezeki kali ini tak berpihak kepada saya. Kekalahan di penalti dan tendangan long shot oleh pihak lawan cukup mengecewakan, tapi saya terima kekalahan dengan hati terbuka.

MGO: Dengar cerita proses kelayakan PlayStation League Asia ini agak berlainan kerana empat pemain dari Hong Kong mendapat slot untuk bertanding. Kenapa begitu?

Fenrir: Sebenarnya mereka ada kelebihan kerana team (player packs) yang mahal, jadi lebih mudah untuk mereka qualify. Berbeza dengan Malaysia, kita tak menumpukan pada aspek ini. Nak berbelanja dalam permainan ini (beli player packs) susah sikit kerana ia mengikut nilai mata wang asing.

Mungkin pusingan kelayakan perlu diperbaiki kerana bagi pemain profesional e-sukan yang bernaung di bawah organisasi luar negara, mereka mempunyai peruntukan untuk FUT Coins. Selain itu jika diperhatikan di luar negara, kebanyakan pemain pro berdaftar di bawah kelab bola sepak mempunyai budget untuk ini dan ada kerja sampingan dengan menjadi KOL (stream di Youtube dan Twitch untuk menerima donation).

MGO: Apa perancangan Fenrir selepas ini?

Fenrir: Saya kini menunggu kemunculan FIFA 19 yang akan keluar pada September dan berharap ia menawarkan format lebih mesra pengguna kepada pemain profesional.

Saya juga berharap lebih banyak kejohanan FUT diadakan di Malaysia. Kita boleh mempunyai kejohanan ‘kick-off’ yang biasa diadakan tapi boleh juga menumpukan kepada mod FUT kerana ia adalah standard bagi luar negara. Jadi untuk membiasakan diri dengan kejohanan luar yang lebih mencabar, pastinya kita perlukan kejohanan seumpama ini dalam negara.

Pengasas Bersama Gamesbond, Suki Lee

MGO: Apa pula perancangan Gamesbond buat masa ini?

Gamesbond Suki: Perancangan kami (Gamesbond) dalam masa terdekat ialah memfokuskan pada FIFA. Ketika menyertai Virtuelle Bundesliga baru-baru ini, saya rasakan exposure untuk pemain FIFA Malaysia tak cukup besar.

Jadi kami merancang untuk mengadakan bootcamp dengan mengumpulkan pemain Malaysia berpengalaman dan kemudian bertanding dalam mod FUT bersama pemain antarabangsa. Dengan mengikut modul e-sukan luar negara ini, ternyata bakat pemain dapat digilap lagi dan mereka juga akan jadi lebih bersedia menghadapi kejohanan luar.

Gamesbond Esports Team juga akan ditubuhkan dan akan membariskan 2 pemain Malaysia iaitu Fenrir dan AmTuah (setakat ini) yang hebat dan berpengalaman di arena tanah air. Ia bertujuan untuk menggilap bakat anak muda tempatan yang ingin serius dalam karier ini (bermain FIFA).

Kami juga cuba mendapatkan penaja yang berminat untuk meneroka industri e-sukan terutamanya FIFA. Bagi saya, adalah bagus jika pemain tempatan mendapat tajaan untuk membelanjakan FUT Coins bagi mempersiapkan diri ke kejohanan luar.

—–

Juga menyertai kejohanan ini ialah lapan pemain FIFA 18 dari rantau Asia termasuklah Hong Kong, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia merebut wang tunai USD$10,000 dan slot ke EA SPORTS FIFA 18 Global Series Playoff, Amsterdam, Belanda pada akhir Mei nanti.