Final Fantasy Brave Exvius: Temuramah Bersama Square Enix Tentang Masa Depan Game Mobile RPG

By Intan Mawarni | October 29, 2019

Final Fantasy Brave Exvius sudah menginjak ke usia tiga tahun dengan lebih daripada 40 juta muat turun di seluruh dunia. Kini, Final Fantasy Brave Exvius masih lagi popular dalam kalangan pemain game mobile role-playing game (RPG) dan peminat Final Fantasy di seluruh dunia.

Final Fantasy Brave Exvius terus sentiasa meraih populariti ini tertanam dalam sejarah 30 tahun siri Final Fantasy yang kaya dengan penceritaan menarik.

Hasil daripada kejayaan ini mencetuskan sebuah lagi olahan baru untuk Final Fantasy Brave Exvius berjudul War Of The Visions: Final Fantasy Brave Exvius iaitu game RPG berbentuk taktikal.

Dalam War of the Visions, pemain akan mengawal unit karakter dalam pelbagai jenis situasi berbeza ketinggian dan bentuk muka bumi. Setiap unit mempunyai kebolehan mereka masing-masing seperti menggunakan serangan jarak dekat dan jarak jauh serta memerlukan pengaturan strategi untuk menuju kemenangan.

Kami sempat menemuramah penerbit eksekutif Final Fantasy Brave Exvius, Kei Hirono dan penerbit global Final Fantasy Brave Exvius dari Square Enix, Hiroki Fujimoto untuk bercakap lanjut tentang Final Fantasy Brave Exvius dan game terbaru mereka, War of the Visions.

Dari kiri: Penerbit eksekutif FFBE, Kei Hirono dan penerbit global FFBE dari Square Enix, Hiroki Fujimoto

Apakah kandungan terbaru untuk Final Fantasy Brave Exvius?

Hiroki Fujimoto: Dalam game ini, setiap musim mempunyai penceritaan tersendiri. Pada musim pertama, karakter utama ialah Rain yang mana kami fokuskan kepada pengembaraannya bersama kawan-kawan selari dengan arus perdana RPG. Kemudian, musim kedua mengalih fokus kepada Lasswell, kawan baik Rain yang sentiasa di sisi Rain. 

Selepas Rain dan Lasswell, tiba pula masa Fina, hero wanita pertama untuk teraju utama dalam musim ketiga Final Fantasy Brave Exvius. 

Kemaskini terbaru Final Fantasy Brave Exvius juga menyokong dua bahasa selain bahasa Inggeris iaitu fokus kepada benua Asia iaitu bahasa Thai dan bahasa Indonesia.

Bagaimanakah acara kolaborasi artis terkenal seperti Ariana Grande dan Katy Perry serta game Square Enix lain seperti Kingdom Hearts dan Tomb Raider terjadi dalam game ini?

Kei Hirono: Kolaborasi antara selebriti ini adalah salah satu usaha untuk menarik minat pemain baru yang tidak tahu menahu tentang Final Fantasy Brave Exvius untuk cuba main game ini. Mereka (Ariana Grande dan Katy Perry) masing-masing mendendangkan lagu rasmi untuk game ini dan versi digital mereka hadir dalam game.

Ini juga sama seperti game Square Enix. Kami juga menambah masuk karakter terkenal daripada Tomb Raider dan Kingdom Hearts ke dalam game untuk mendorong pemain mencuba game ini.

Adakah kita akan lihat selebriti untuk muncul dalam game ini?

Hiroki Fujimoto: Kolaborasi ini ternyata membuahkan hasil kerana berjaya menarik ramai pemain baru. Buat masa sekarang, tiada lagi kolaborasi baru antara selebriti. Namun, ini bergantung kepada maklumbalas pemain.

Apa yang menarik tentang War of The Visions: Final Fantasy Brave Exvius?

Kei Hirono: War of The Visions ini terlahir daripada permintaan untuk game berbentuk simulasi RPG dan pengolahan daripada Final Fantasy Brave Exvius. Dari segi penceritaan, War of the Visions ini membawa pemain beberapa ratus tahun lalu semasa peperangan antara negara berlaku di Ardra yang terletak di benua Lapis iaitu benua dalam Final Fantasy Brave Exvius.

Pemain akan mengenali karakter baru dari negara masing-masing yang mana korang boleh ubahsuai dan turut boleh menyeru Esper. Rekaan permainan juga dalam bentuk kamera isometrik yang membolehkan korang atur strategi dalam game berbentuk simulasi 3D RPG ini.

Adakah sistem gacha wujud dalam War of the Visions?

Kei Hirono: Ya, sistem gacha akan ada dalam War of the Visions tetapi ia agak berbeza daripada Final Fantasy Brave Exvius. Kami akan umumkan butir-butir lanjut kelak.

Boleh beritahu perbezaan ketara antara Final Fantasy Brave Exvius dan War of the Visions: Final Fantasy Brave Exvius?

Kei Hirono: Final Fantasy Brave Exvius adalah lebih kepada strategi berasaskan giliran (turn-based strategy) RPG manakala War of the Visions memperincikan rekaan permainan taktikal simulasi RPG seakan seperti Final Fantasy Tactics asal. Ia sesuai dimainkan dalam telefon pintar kerana game ini dalam pandangan landskap.

Bila kita boleh main War of the Visions: Final Fantasy Brave Exvius?

Kei Hirono: War of the Visions akan dilancarkan di Jepun pada bulan hadapan setakat ini. Untuk pelancaran global, kami akan berkongsikan lebih lanjut dalam satu siaran langsung (livestream) pada 16 November ini.

Final Fantasy Brave Exvius kini boleh dimainkan di Android dan iOS.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.