Free Fire World Series (FFWS) 2022 akan berlangsung pada Mei depan

By Taib Mohamed | November 12, 2021

Garena baru-baru ini mengumumkan bahawa kejohanan dunia bagi Free Fire, Free Fire World Series (FFWS) 2022 akan berlangsung bermula 14 Mei hingga 21 Mei tahun depan. 

Kejohanan ini akan menjadi pentas bagi pasukan-pasukan terbaik dunia untuk bersaing mendapatkan gelaran juara.

Buat masa ini pihak Garena masih belum memperincikan mengenai kejohanan ini sama ada ia akan dianjurkan secara luar talian atau sebaliknya. Namun, pihak penganjur masih perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan peserta serta kakitangan yang terbabit.

Meskipun di dalam suasana pandemik yang masih belum reda, kejohanan ini adalah kejohanan yang paling dinantikan bagi peminat dan pemain permainan mudah alih dari seluruh dunia.

Siri kejohanan lalu, FFWS 2021 dianjurkan secara fizikal di Pusat Konvensyen dan Expo Sands, Marina Bay Sands, Singapura, berjaya mencapai jumlah penonton seramai 5.4 juta pada satu masa dan menjadi kejohanan dunia yang paling banyak ditonton. 

Di FFWS 2021, pasukan Pheonix Force daripada Thailand berjaya bergelar juara selain membawa pulang hadiah wang sebanyak AS$500,000 (RM2.08 juta).

Sumber: AFK Gaming