Garena Membeli Pembangun Game, Phoenix Labs, Dilaporkan Dengan Harga RM611 Juta

By Hazril Md Nor | January 29, 2020

Penerbit permainan video, Garena akhirnya mengumumkan hak milik ke atas Phoenix Labs sebagai salah satu pelan mereka untuk mengembangkan lagi kemampuan pembangunan game mereka di seluruh dunia.

Menurut laporan dari portal akhbar Singapura, The Straits Times, Garena tidak mendedahkan pertukaran hak milik itu dibuat dalam bentuk tunai atau jualan saham tapi mengikut sumber dipercayai, sebanyak AS$150 juta (RM611 juta) digunakan untuk membeli 100% ekuiti Phoenix Labs.

Phoenix Labs dari Kanada terkenal dengan pembangunan permainan monster-hunting Dauntless yang diterbitkan oleh Epic Games. Sekarang ini, lebih 100 kakitangan pembangun game bertaraf ‘AAA’ (dari Phoenix Labs) kini bekerja di bawah Garena juga.

Bagi yang tidak tahu, Garena adalah penerbit yang dikenali dengan permainan video seperti League of Legends, Arena of Valor dan siri FIFA Online di Asia Tenggara. 

Pada tahun 2015, Garena pernah menjadi pelabur terawal yang menyokong pembangunan syarikat itu dan pembangunan Dauntless.

(Sumber: The Straits Times)