GTA Online percuma buat pembeli PS5 selama tiga bulan pertama

By Burhanudin Zamri | June 12, 2020

Rockstar Games telah mengumumkan bahawa Grand Theft Auto V (GTA V) akan dilancarkan di konsol generasi seterusnya termasuk PlayStation 5 (PS5). Seperti yang dijangkakan, GTA Online juga akan dilancarkan di samping judul utama tersebut.

Di pembentangan PS5: The Future of Gaming, Rockstar Games berkongsi bahawa pemilik PS5 akan mendapat GTA Online secara percuma. Walaubagaimanapun, tawaran percuma ini hanya sah untuk tiga bulan pertama selepas pelancaran PS5.

Sama seperti di PlayStation 4 (PS4), permainan dalam talian di PS5 hanya boleh diakses dengan langganan PlayStation Plus (PS Plus). Oleh itu, anda perlu mempunyai langganan PS Plus untuk mendapatkan tawaran ini.

Satu lagi pengumuman menarik yang dibuat oleh Rockstar Games ialah pemain GTA Online di PS4 akan menerima satu juta GTA dollars setiap bulan sehingga pelancaran GTA Online di PS5.

Pada waktu ini, tiada pelancaran tarikh tepat dikongsikan oleh Rockstar Games. GTA V akan dilancarkan di konsol generasi seterusnya pada separuh kedua tahun 2021 dan kemungkinan besar GTA Online versi baharu ini juga akan dilancarkan pada waktu yang sama.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.