Hasil e-sukan Asia Tenggara dijangka naik 20.8% sehingga 2024, lapor Newzoo

By Taib Mohamed | August 4, 2021

Tencent dan Newzoo melaporkan bidang e-sukan mula berkembang meluas di Asia Tenggara dan membuka pelbagai peluang pekerjaan dan kemunculan model bisnes inovatif baru di rantau ini. 

Menurut data Newzoo, kadar kenaikan tahunan kompaun (CAGR) untuk hasil e-sukan di Asia Tenggara dijangka meningkat sebanyak 20.8% dari 2019 hingga 2024 dengan pendapatan mencapai AS$72.5 juta pada 2024. Peningkatan ini adalah hampir dua kali ganda CAGR peringkat global dalam sektor yang sama iaitu +11.1%.

Menurut laporan bertajuk Games & Esports: Bona Fide Sports, berbanding Amerika Utara dan Eropah Barat yang lebih maju dari segi infrastuktur IT, perkembangan e-sukan di Asia Tenggara dipacu oleh pilihan permainan mudah alih yang lebih berpatutan.

Pembangun dan penerbit permainan seperti Riot Games, organsasi esukan Indonesia Bigetron Esports, Vietnam’s Recreation and eSport Association (VIRESA) dan Asia Pasific University of Technology & Innovation (APU) Malaysia, menyatakan pembangunan e-sukan di rantau ini lebih dinamik dan mampu memberikan impak ekonomi yang positif.

Dengan berkembangnya bidang e-sukan di Asia Tenggara, secara tidak langsung ianya telah membuka banyak peluang pekerjaan dengan menjadikan minat kepada satu karier profesional termasuk sebagai pencipta kandungan, pempengaruh media sosial, pengulas, pengurus dan jurulatih. 

Meskipun pandemik melanda dunia kini, industri esukan Asia Tenggara tetap terus berkembang. Pembekal, pembangun, penerbit dan penganjur acara banyak bermain peranan mereka dalam pelaburan dari segi teknologi untuk menambahbaik kualiti permainan dan penganjuran pelbagai kejohanan termasuk kejohanan atas talian untuk dipertonton buat peminat-peminat. 

Hal ini dicatat apabila kejohanan PUBG MOBILE mendapat jumlah tontonan sehingga 200 juta jam tontonan.

Wakil daripada Tencent menyatakan, ramai penonton lebih menonton permainan dan kejohanan esukan secara atas talian dan jumlah pengguna baru yang bertambah semasa pandemik ini. Bahkan, dengan perkembangan ini, beliau menjangkakan kejohanan secara atas talian dan luar talian akan lebih kerap dianjurkan selepas pandemik ini berakhir.

“E-sukan adalah satu trend susah untuk diabaikan dan pelbagai pihak daripada dalam dan luar industri akan terus memberikan manfaat dalam terus membangun dan menambahbaik ekosistem ini,” – Wakil Tencent, James Yang.