Ibu mengikuti langkah anaknya ke dunia e-sukan, sertai Galaxy Racer

By syazwanbahri | September 11, 2021

Galaxy Racer mengambil Anne ‘mamabenjyfishy’ Fish sebagai pencipta kandungan untuk pasukan e-sukan mereka. Fish adalah ibu kepada pemain profesional Fortnite, Benjy ‘benjyfishy’ Fish. 

Pasukan e-sukan di Timur Tengah ini menawarkan peluang menjadi pencipta kandungan itu kepada Anne Fish dalam sebuah kejohanan Fortnite, Aubameyang Cup, yang dianjurkan oleh mereka. Galaxy Racer mencabar Anne Fish untuk mendapat kedudukan 50 teratas pada kejohanan itu dan bersetuju untuk menerima beliau jika berjaya mengatasi cabaran itu.

Kata Anne kepada BBC‘Saya tidak sangka dalam satu juta tahun bahawa saya akan bermain Fortnite atau strim atau dapat tawaran oleh sesebuah organisasi, jadi ia sangat mengujakan,” katanya.

Anne juga berkata beliau sudah 15 tahun tidak memainkan apa-apa permainan video dan permainan terakhir yang beliau main adalah di konsol Nintendo 64 bersama anak sulungnya.

Selain menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu, Anne Fish juga bertanggungjawab untuk mengurus kerjaya profesional anaknya sejak 2018.

Anne juga sudah memainkan peranan sebagai mentor e-sukan, menasihati pemain dari aspek pentadbiran untuk menjadi profesional dan memberi nasihat tentang bagaimana menguruskan permainan mereka bersama komitmen lain dalam hidup mereka.

Beliau juga adalah penasihat di COPE (Coalition of Parents in Esports), di mana beliau berusaha untuk membantu mendidik ibu bapa mengenai e-sukan dan bagaimana anak-anak mereka memperoleh kemahiran yang dapat dipindahkan dari permainan, yang dapat digunakan dalam pelbagai industri dan sektor pekerjaan.