Ibu Pun Main Game Juga! Ibu Kongsi Saat Manis Bermain Game Bersama Anak-Anak

By Intan Mawarni | May 11, 2019

Menurut kajian yang dilakukan oleh Entertainment Software Association (ESA), sebanyak 45% pemain adalah terdiri daripada wanita. Lebih menarik lagi, wanita berumur 18 tahun ke atas mendominasi kategori gamer wanita ini.  Jadi, ia tidaklah begitu mengejutkan kaum wanita bergelar ibu sekarang berkongsi hobi bermain game bersama anak-anak mereka.

Sempena sambutan Hari Ibu, kami menemuramah kaum ibu yang gemar bermain game tentang bagaimana aktiviti bermain game dapat merapatkan hubungan seisi keluarga dan menjawab tohmahan masyarakat yang menganggap video game boleh merosakkan anak muda.

‘Game mengajar anak saya jadi peka’

Wafi bersama Sunsan

Intan atau mesra dipanggil sebagai Sunsan ialah seorang jurutera aplikasi & pemasaran dan ibu kepada Wafi berumur 6 tahun. Sunsan mula mendapat minat main game dari kecil tetapi tidak terlalu kerap kerana ibu bapanya menasihati dia untuk fokus kepada pembelajaran terlebih dahulu.

Namun, minat itu kembali selepas bapanya menghadiahkan PlayStation Portable (PSP) selepas dia menduduki peperiksaan SPM. “Saya suka sangat Final Fantasy Crisis Core sehingga saya ulang main 10 kali,” gelak Sunsan yang gemar bermain Star Ocean 4, Xenoblade Chronicles X dan Overwatch.

Kini, Sunsan suka bermain game bersama anaknya, Wafi seperti LEGO Jurassic World dan LEGO Star Wars. Sunsan berkata, “Bagi saya, siri game LEGO sangat bagus untuk Wafi. Game ini mengajar Wafi (termasuk ibunya juga) untuk peka dengan arahan dan keadaan sekeliling dalam game itu. Kadangkala, saya sendiri pun tidak pasti nak buat apa dalam game itu. Tengok-tengok, Wafi sudah dapat jumpa apa yang patut kena buat dalam masa 2 minit sahaja,” jelas Sunsan.

Selain itu, anaknya tertarik dengan kepelbagaian karakter dan cerita tersendiri dalam Overwatch serta pandai bermain game first-person shooter (FPS) ini. Menurut Sunsan, Wafi kini dalam fasa suka berimaginasi dan mereka berdua gemar buat ‘lakon semula’ semasa sesi bermain. “Semasa kami bermain, kami sering menyamar karakter Overwatch. Sebagai contoh, saya menyamar sebagai Bastion yang selalu kena ketuk dengan Reinhardt. Wafi turut pandai mengendalikan karakter ‘tank’ seperti Orisa dan Reinhardt.”

Sunsan ialah peminat besar Overwatch dan sanggup terbang ke Thailand untuk menyaksikan Overwatch World Cup di Bangkok.

Kegiatan bermain game ini sering mendapat kecaman oleh sesetengah kelompok masyarakat. Malah, Sunsan pernah berjumpa dengan individu yang berkata kepadanya dia patut meninggalkan hobi ini selepas mendirikan rumahtangga. 

Dia membalas, “Bagi saya, apa-apa aktiviti dilakukan bersama anak ini ada banyak faedahnya, lebih-lebih lagi jika masing-masing suka melakukan hobi yang sama.” Dia juga memastikan anaknya menyiapkan tugasan di rumah dan kerja sekolah sebelum membenarkan Wafi bermain game.

Sunsan juga tidak pernah memaksa anaknya untuk bermain game bersama-sama tetapi dia sangat menghargai Wafi berkongsi minat sama sepertinya. “Memandangkan dia (Wafi) sangat berminat, masa yang diluangkan bersama itu, bercakap dan berstrategi tentang game adalah satu memori yang saya akan simpan buat selama-lamanya,” kata Sunsan.

Masa kualiti bersama famili

Rin bersama Lisa

Penasihat IT, Izreena Amalini atau Rin mula berjinak-jinak main game pada usia 12 tahun dan ia merupakan aktiviti biasa bersama keluarganya. Antara game pertama dia pernah main adalah The Sims di PC. Sejak dari itu, Rin mengembangkan lagi jenis-jenis game lain seperti siri Final Fantasy, Ragnarok Online dan The Legend of Zelda.

Minat Rin yang suka akan game tidak terhenti walaupun sudah menjadi ibu kepada Lisa Aleena berusia 3 tahun. Namun, ia bukan mudah untuk membahagikan masa antara kerja, keibubapaan dan hobi main game.

“Saya rancang masa saya dengan mengutamakan keluarga saya terlebih dahulu, diikuti dengan kerja dan sekiranya semua kerja rumah sudah selesai, barulah saya akan bermain game,” kata Rin yang sering bermain selama 4 hingga 5 jam pada hujung minggu bersama-sama keluarga dan rakan-rakan secara online.

Overcooked adalah game co-op yang menguji kerjasama semua pemain

Menurut Rin, dia bersama anak perempuan dan suami gemar bermain game mesra keluarga yang kasual dan menggalakkan sifat kerjasama seperti Overcooked dan Little Big Planet. Malah, suami menghadiahkan PS4 sempena hari jadi supaya mereka boleh bermain game bersama-sama.

Rin berpendapat hobi bermain game ini tidak perlu dikorbankan setelah berkeluarga. “Saya selalu menganggap ia adalah masa kualiti bersama dan suatu hobi berfaedah yang boleh dilakukan bersama famili,” katanya. “Namun, ibu bapa juga harus beri perhatian kepada rating game untuk memastikan kesesuaian bermain dengan keluarga. Contohnya, game rating M-Mature tidak boleh bermain untuk individu berusia 17 tahun ke bawah.”

Selain itu, aktiviti bermain game bersama anak-anak adalah pengalaman yang menyeronokkan dan Rin percaya bermain game ini boleh meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris si kecil.

Gaming secara sihat

Aisyah bersama Alya

“Bermain game ini adalah salah satu cara saya untuk melepaskan stres dan tekanan. Jika ada orang berfikir ia cuma satu kegiatan yang membuang masa, ini adalah kerana mereka tidak cekap mengurus keutamaan mereka.”

Itulah kata-kata daripada seorang doktor gigi, Aisyah Radzi dan ibu kepada dua anak, Alya berumur 4 tahun dan Nazrin, 3 tahun mula mengenali permainan digital seawal usia 8 tahun oleh kenalan-kenalan ibu bapanya yang memperkenalkan game strategi, Red Alert 2 dan game aksi, Tomb Raider 2.

Walaupun hobinya perlu dikurangkan untuk fokus ketika dia menyambung pelajaran, Aisyah masih lagi bermain game kasual seperti Diner Dash untuk meredakan stresnya. Setelah mengorak ke alam perkahwinan, dia mendapati tahu suaminya ialah seorang gamer juga dan membelikan konsol PS4 pada 2014 yang mana mereka bermain Battlefield 4 bersama-sama.

Sekarang, Aisyah suka bermain Overwatch bukan sahaja bersama suami, malah bersama adik-beradiknya yang turut gemar bermain game. Dia turut memberitahu game kegemarannya iaitu Call of Duty: Black Ops, Left 4 Dead 2 dan Detroit: Become Human.

Karakter-karakter Overwatch

Untuk dua anaknya pula, Aisyah jelas anak-anaknya masih lagi tidak memahami konsep bermain game kerana baru sahaja berusia setahun jagung. “Anak perempuan tidak ambil endah sangat tentang game kerana dia sudah cuba tetapi tidak begitu berminat. Dia suka Just Dance hanya kerana dia boleh menari kepada lagu kesukaanya. Anak lelaki saya cuba bermain Overwatch tetapi dalam tahap Training Mode sahaja,” katanya.

Doktor ini sedar akan gejala negatif gaming yang boleh cenderung kepada ketagihan. “Saya pernah dengar isteri meluahkan kerisauan tentang suami mereka yang ketagih kepada game mobile. Jika ketagihan itu menjadi begitu teruk sehingga rasa terabai, berbincanglah dengan suami,” luah Aisyah.

Aisyah turut menitikberatkan kesan gaming terhadap kesihatan. Dia menasihati, “Dalam kebanyakkan masa, kegiatan bermain game ini hanyalah duduk dan statik sahaja dan ia boleh memberi kesan kepada mata seperti isu mata menjadi kering.

“Oleh itu, ia adalah penting untuk belajar teknik-teknik yang boleh menyegarkan tubuh badan selepas aktiviti bermain game seperti merehatkan mata pada setiap 15 minit, bangun dan lakukan regangan badan.”

Kepada semua ibu tercinta di luar sana, terima kasih atas jasa dan pengorbanan untuk membesarkan kami. Akhir kata, Selamat Hari Ibu!

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.