Jom Kenali 5 Pengulas Liga Asia Tenggara PUBG Mobile Club Open Di Shanghai, China!

By Hazril Md Nor | May 7, 2019

Mengulas di kejohanan e-sukan peringkat antarabangsa bukanlah peluang yang selalu dapat. Lebih-lebih lagi apabila ia diadakan pada bulan Ramadhan dan kemudian bersambung hingga ke Aidilfitri, pastinya banyak dugaan ditempuhi pengulas e-sukan tempatan.

Penulis percaya masing-masing mempunyai alasan tersendiri untuk menghadiri kejohanan PUBG Mobile Club Open – Spring : SEA League ini. Liga berprestij ini mengumpulkan pelbagai pasukan dari Asia Tenggara antaranya Thailand, Indonesia, Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Filipina bertanding merebut hadiah wang tunai terkumpul RM107,980.

Bagi sesetengah pengulas, ia adalah pengalaman baru. Bagi yang lain, ia adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Gambar: FB Page Terence “Icybaby12” Yong

Jom kita dengarkan kisah dari lima pengulas tempatan iaitu ChuChu, icybaby12, OnTheGo, J Hunter dan Qontra yang akan mengulas bermula esok hinggalah awal Jun depan. 

Saksikan ulasan mereka di Facebook rasmi PUBG Mobile di SINI dan Bahasa Inggeris (Youtube) di SINI.

 

1. Andriyana Mohd Ghazali (ChuChu)

Gambar: FB Page ChuChu Gaming

Sebagai satu-satunya gadis dari Malaysia, Andriyana atau ChuChu akan mengulas dalam bahasa Inggeris menjelang musim liga berlangsung esok.

“Ini adalah kali pertama saya ke offline events untuk mengulas dalam bahasa Inggeris. 

“Sebenarnya ramai yang kenal saya tahu memang saya suka mengulas dalam bahasa Inggeris jadi di sini (Shanghai) akan jadi stepping stone untuk menggilap bakat saya. Memang dah lama tak dapat peluang ni jadi sedikit rasa gementar takut tak boleh buat tapi saya tetap percaya dan yakin pada diri sendiri.

ChuChu mengatakan pengalaman pertama kali mengulas ketika Ramadhan sangat menguji kemampuan dirinya.

“Sebagai pengulas, ini adalah kali pertama mengulas di bulan mulia. 

“Tak boleh makan dan minum ditambah lagi dengan mengulas untuk sebulan pastinya menjadi cabaran. Tapi kami dikhabarkan akan bertukar posisi sebagai data analis ataupun buat play by play dan acara itu akan berlangsung lebih kurang 7 jam jadi taklah penat sangat,” katanya.

Tambah ChuChu, dia mengakui berdepan dengan inferiority complex.

“Dalam konteks jantina, pasti akan ada rasa macam ni tapi bagi saya, kalau kita bagus, tak kisah jantina tapi kita akan tetap berada di atas kerana usaha dan penat lelah.

“Saya selalu cakap dekat diri sendiri, selagi berusaha kita boleh pergi ke depan. Kalau mereka (lelaki) boleh buat, kenapa bukan saya?

“Saya makan nasi, saya puasa, saya buat apa yang mereka buat. Bagi saya, yang divide isu ini adalah mindset masing-masing,” katanya.

Akhir kata, ChuChu menasihatkan pengulas yang meningkat naik dan gadis lain untuk menceburi bidang ini perlu ada minat dan tahan cemuhan di laman sosial.

“Cabaran tu memang ada tapi kena ingat, kalau dah ada minat dan suka, tiada siapa boleh halang kita,” katanya.

 

 

2. Terence Yong Yew Gin (Icybaby12)

Gambar: FB Page Terence “icybaby12” Yong

Terence akan mengulas dalam bahasa Inggeris. Sebagai pengalaman pertama di kejohanan berskala ini, dia sangat teruja apabila mendapat peluang ini.

“Saya memang looking forward untuk menikmati pengalaman baru di sini. Komunikasi tidak akan jadi masalah kerana saya fasih berbahasa Mandarin. Bagi saya, apa yang akan mengejutkan saya ialah budaya di sini yang nyata berlainan berbanding di Malaysia,” katanya.

Bagi menghadapi persiapan untuk mengulas dalam masa sebulan, Terence berkata, dia banyak mempelajari rutin baru.

“Contohnya, saya bersenam, berdiet dan karoeke untuk latihan vokal selain menonton video perlawanan. Namun, bagi saya yang paling penting ialah memiliki keyakinan pada diri sendiri untuk buat semua itu kerana akhirnya ia memang berbaloi,” katanya.

Kata Terence cabaran terbesar mungkin dari sudut pengulasan memandangkan hanya tiga orang saja yang mengulas.

“Tiga orang daripada kami akan mengulas dalam Bahasa Inggeris jadi ia akan lebih repetitive. Oleh itu, saya cuba untuk pelbagaikan cara mengulas selain mempelajari teknik baru bagi penonton lebih terhibur dengan ulasan saya,” katanya.

Artikel berkaitan: 5 skuad ini bersedia untuk kibar Jalur Gemilang di bumi Shanghai, China

 

3. Aaron Chan (Qontra)

Gambar: FB Page Qontra

Bagi Aaron Chan atau Qontra, dia sangat teruja dengan peluang diberikan ini selain menyifatkan China adalah negara yang sangat maju dalam industri e-sukan.

“China sangat fokuskan e-sukan jadi saya tak sabar nak lihat sudut penganjuran acara di sini. Pastinya canggih dan efisyen.

“Bagaimanapun, saya sedikit risau apabila berada di sana kerana tak boleh bercakap Mandarin dengan lancar,” katanya.

Menurutnya, pengalaman untuk mengulas di China adalah bagai bulan jatuh ke riba.

“Tak pernah saya sangka daripada dulu mengulas di studio yang kecil di Garena sehinggalah saya ambil peluang untuk keluar dari zon selesa dan ambil cabaran sebagai pengulas sepenuh masa, nyata berbaloi.

“Saya nak berterima kasih kepada yang bagi sokongan. Sekarang kita boleh nampak pengulas e-sukan mula menerima penghargaan dari penganjur atas usaha mereka,” katanya,

Aaron berkata, dia akan membuat rujukan menyeluruh tentang pasukan bertanding dan memfokuskan pada pasukan pilihan antaranya Secret Genexsus dari Malaysia.

“Bagi saya, apa-apa boleh berlaku dan game akan jadi milik sesiapa saja untuk tournament kali ini,” katanya.

 

 

4. Partibhan (OnTheGo) & Azrul Anwar Azman (J Hunter) 

Dari kiri: OTG dan J Hunter

Kedua-dua pengulas berbakat ini akan mengulas dalam Bahasa Melayu, secara langsung dari Shanghai, China bermula esok!

MyGameOn: Apakah harapan korang untuk liga kali ini?

J Hunter: Biasanya event saya mengulas adalah pendek-pendek tapi kali ini ia liga jadi agak panjang. Memang ada rasa gemuruh takut orang bosan jadi saya kaji cara untuk bagi penyampaian nampak lebih segar kepada penonton.

OnTheGo: Ramai lupa bahasa kita (Bahasa Malaysia) sebenarnya sesuai digunakan dalam e-sukan. Dibandingkan dengan negara lain, komuniti PUBG Mobile tempatan sangat menyokong dan inilah peluang untuk memartabatkan Bahasa Malaysia di arena antarabangsa.

MyGameOn: Apakah cabaran mengulas selama sebulan di sana?

J Hunter: Saya akan belajar penggunaan perbendaharaan kata baru. Takkan hari-hari kita nak bagi ‘hidangan’ sama kepada penonton kan? Tentunya saya akan expand melalui pembacaan dan menyentuh sedikit tentang perkara menarik di Shanghai.

OnTheGo: Saya lebih suka untuk belajar gunakan perkataan yang jarang disebut. Sebab itu, buku nota memang jadi peneman kalau mengulas. Saya akan catat perkataan yang mungkin terlepas pandang selain menonton ulasan dari Adam dan Ikuto.

MyGameOn: Apakah cabaran selain mengulas?

J Hunter: Bagi saya, selaku orang Malaysia beragama Islam, berpuasa dan cari tempat untuk makan. Sebab itu akan rasa rindu Malaysia nanti lebih-lebih lagi apabila liga ini dilanjutkan hingga ke Aidilfitri.

OnTheGo: Saya tak mempunyai masalah malah lagi teruja sebab boleh cuba belajar berpuasa dan berhari raya di sana bersama rakan-rakan Muslim yang lain.

MyGameOn: Ucapan kepada peminat dan penyokong Malaysia yang menantikan ulasan korang?

J Hunter: Harap mereka terhibur dengan persembahan akan kami berikan. Akhir kata, hargailah pengorbanan caster yang berkorban Raya dan Ramadhan bersama family untuk sampaikan ulasan Bahasa Malaysia di bumi Shanghai, China!

OnTheGo: Nilah saat caster Bahasa Melayu untuk menyerlah, so nak ucapkan terima kasih kepada semua. Yang penting, #cantikmacambunga

Bagi video ulasan dan livestreaming mereka nanti, tunggu kemaskini daripada kami di Facebook!