Kejohanan Kampus PUBG Mobile 2020 akan bermula pada 31 Oktober

By Burhanudin Zamri | October 19, 2020

Para pelajar kolej dan universiti di Malaysia semestinya teruja mendapat tahu Kejohanan Kampus PUBG Mobile (PMCC) Malaysia kembali lagi pada tahun ini! Seperti biasa, ia dibawakan oleh syarikat telekomunikasi tempatan Yoodo dan ia terbuka kepada semua penuntut pengajian tinggi di Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.

PMCC Malaysia 2020 menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM60,000 dan pemenang akan menerima jemputan terus ke Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile (PMNC) Malaysia 2021. Kejohanan ini berlangsung dari 16 Oktober (mengambil kira tempoh pendaftaran) hingga 29 November tahun ini.

Pendaftaran adalah percuma dan boleh dibuat melalui laman web rasmi PMCC Malaysia 2020. Setiap pasukan akan mendaftar mengikut zon masing-masing iaitu Utara, Selatan, Timur, Borneo, dan Sentral. Tarikh tutup pendaftaran Selatan dan Borneo adalah pada 28 Oktober dan untuk zon-zon lain pula ialah 29 Oktober.

Berikut adalah jadual kejohanan:

  • Pusingan Kelayakan Zon – 31 Oktober hingga 5 November
  • Pusingan Final Zon – 7 November hingga 15 November
  • Grand Finals – 27 November hingga 29 November

Tiga pasukan terbaik dari Zon Selatan, Utara, dan Timur akan melayakkan diri ke Grand Finals. Untuk Zon Borneo pula, lima pasukan terbaik akan layak. Zon yang mempunyai bilangan institusi pengajian tinggi terbanyak iaitu Zon Sentral akan melayakkan enam pasukan terbaik.

Selain daripada perkara-perkara di atas, pihak penganjur juga sedang mencari pengulas Bahasa Melayu yang berbakat untuk menjadi “suara PUBG Mobile”. Jika anda berminat, pastikan anda mendaftarkan diri di sini.

Sebuah KOL Showmatch akan diadakan tetapi butiran-butiran mengenai aktiviti ini masih belum diumumkan. Pastikan anda mengikuti laman Facebook rasmi PUBG Mobile Malaysia untuk mendapatkan berita terkini tentang PUBG Mobile dan PMCC Malaysia 2020.

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.