Kenapa sampai sekarang belum Mythical Glory? Ini cara sebenar nak kejar ‘rank’

By Hazril Md Nor | February 16, 2022

Sudah menjadi impian ramai orang untuk kejar rank tertinggi dalam mana-mana permainan mudah alih.

Di Mobile Legends: Bang Bang, kita pasti ingin mengejar rank Mythical Glory, yang paling tinggi. Kalau dah rank sebegini, mesti boleh bangga dan tunjuk pada kawan-kawan kan?

Berada di Mythical Glory mungkin tak memberi apa-apa habuan besar dalam permainan tapi bagi diri sendiri, ia satu kepuasan yang sukar dicapai.

Macam mana anda mahu naik ke rank ini? Ini tips yang penulis kongsi.

JANGAN SOLO RANK

Seperti yang kita tahu, MLBB adalah permainan berasaskan kerjasama sepasukan. Jadi jika anda mahu kejar rank tertinggi, elakkan solo rank.

Ini kerana pertama, anda tak mempunyai rakan yang sama pemikiran atau taktik. Malah, tidak semua pemain solo ingin membuka voice chat bagi kemudahan komunikasi.

Bermain secara solo mempunyai peluang agak tipis di peringkat Mythic kerana banyak strategi yang kita ingin atur seringkali gagal kerana kurang komunikasi.

Malah, banyak kali juga akan ada paksaan untuk kita memainkan role yang tidak mahir. Misalnya, jungler akan bermain sebagai support kerana terpaksa.

CARI PEMAIN YANG ‘DEKAT’ ATAU FAHAM ‘GAMEPLAY’

Seringkali kita duo atau trio atau berlima, pastinya kita gunakan banyak cara untuk komunikasi. Discord, voice chat dalam MLBB atau cara-cara lain.

Bagi penulis, tak salah tapi jika anda mempunyai rakan yang boleh ‘lepak’ di restoran mamak atau satu lokasi seperti rumah sewa pasti lebih menarik. Ini kerana, komunikasi langsung memudahkan anda lagi-lagi bila bermain secara berlima.

Namun, komunikasi secara dalam talian juga berkesan tapi anda perlu cari teman yang sesuai gameplay dan ‘sekepala’ untuk tahu bila nak masuk war, bila nak split push dan sebagainya.

Kemahiran Macro ini boleh dipelajari daripada awal jadi tak salah anda buat kesilapan kerana “alah bisa tegal biasa”.

KOMUNIKASI, JANGAN DIAM!

Penulis faham, ada pemain tidak selesa menggunakan suara untuk berkomunikasi. Cara alternatif adalah menggunakan ping yang bersesuaian dengan situasi.

Sebagai contoh, MLBB menyediakan begitu banyak fungsi quick chat untuk anda memberi amaran atau memberi petanda anda ingin melakukan sesuatu. Ia memudahkan anda dan pasukan untuk mencapai keserasian seperti mendapatkan objektif (Turtle, Lord).

Jika anda boleh berkomunikasi menggunakan suara, ia pastilah lebih baik. Anda boleh secara langsung memberikan arahan kepada kawan-kawan untuk sesuatu.

Ia juga bagus untuk membentuk anda sebagai in-game leader yang boleh menentukan strategi terbaik.

BELI ITEM IKUT SITUASI

Pemain yang kasual akan mengikut build pemain profesional yang tersedia namun pemain handal akan menggunakan build mengikut situasi.

Mage tidak semestinya perlu membeli Winter Trucheon pada akhir perlawanan contohnya. Anda boleh membeli Athena’s Shield jika terdapat banyak pengguna mage di pihak lawan.

Malah, pemain jungler juga tak semestinya beli item kesemua damage tapi boleh memberikan sokongan kepada marksman dengan build semi-tank yang boleh membantu.

Lihat komposisi hero dan bagaimana mereka mengenakan damage. Adakah banyak magic atau banyak fizikal.

JANGAN TOKSIK PEMAIN LAIN

Salah satu hal yang bagi turn off bila pemain mula memaki hamun dalam chat. Anda sendiri pun pasti tak suka mengenainya.

Jadi, janganlah jadi pemain yang kurang beradab bila pasukan anda mengalami kekalahan. Selagi kristal tidak pecah, selagi itu harapan masih ada.

Anda perlulah jadi positif dan memberikan kata-kata positif. Cuba beritahu rakan sepasukan jangan ulang kesalahan dan bukannya memaki dia. Pastinya peluang untuk menang lebih tinggi.

JANGAN LUPA REHAT

Bermain pada jangka waktu yang panjang sebenarnya boleh mengakibatkan keletihan pada minda dan mata. 

Memang betul anda ingin kejar rank tapi elakkan dari bermain terlalu lama sampai tak makan atau tidak bersosial. Perkara terakhir anda ingin lihat adalah diri anda menjadi anti-sosial.

Main game berpada-pada dan dapatkan rehat yang cukup untuk anda melakukan aktiviti sosial lain juga.