King’s League II: Temuramah Eksklusif Bersama Pengarah Game Malaysia Pertama Di Apple Arcade

By Intan Mawarni | September 27, 2019

Siri King’s League akhirnya menerima sekuel terbaru berjudul King’s League II yang kini dilancarkan secara eksklusif di Apple Arcade. Dibangunkan oleh studio tempatan, Kurechii, King’s League II menjanjikan permainan simulasi strategi yang lebih besar dalam mencari jaguh Kurestal. 

Kami berhubung dengan pengarah dan penerbit King’s League II, P’ng Yi Wei tentang cabaran dan pengajaran bagi menghasilkan game Malaysia pertama untuk Apple Arcade.

Bagi yang baru sahaja tahu tentang King’s League dan berminat untuk bermain game ini, apa yang anda mahu beritahu kepada pemain baru?

King’s League II adalah simulasi strategi tentang pengurusan pasukan pejuang zaman pertengahan sama seperti Football Manager tetapi dengan pedang dan kuasa magis. Anda merekrut, melatih dan mengurus pejuang dari pelbagai kelas sebelum menghantar mereka ke simulasi medan perang.

Untuk pemain baru, kami mencadangkan untuk anda main Story Mode. Karakter dalam Story Mode membantu dan mengajar mekanik permainan sepanjang anda bermain. Semakin karakter utama dan pasukan anda berkembang, semakin bagus anda jadi sebagai pemain King’s League.

Apakah kelainan King’s League II berbanding game King’s League sebelum ini?

Ada sebabnya kenapa kami memutuskan untuk memanggil sekuel ini sebagai ‘King’s League II’ berbeza dengan Odyssey dan Emblem. Ini adalah kerana kami mengubah hampir kesemua elemen dan mempertingkatkan seberapa banyak yang mungkin sambil mengekalkan teras utama King’s League.

King’s League II ada mod penceritaan (Story Mode) baru yang memberitahu kisah tentang Champions of Kurestal. Selain itu, terdapat fokus tambahan kepada dunia kami dengan menyatukan beberapa game lain ciptaan Kurechii seperti gabungan dunia Postknight ke dalam King’s League.

Mod penceritaan ini juga meningkatkan masa bermain. Sebelum ini, King’s League mengambil masa dua jam untuk habiskan. Untuk King’s League II pula, ia mengambil masa sekurang-kurangnya lapan atau sembilan jam untuk habiskan permainan untuk setiap kelas yang sedia ada. Terdapat juga beberapa kandungan tambahan kerana kami jangka pemain akan main game ini beberapa kali untuk lihat kesemuanya.

Kami juga mempertingkatkan pengalaman pengguna. Semua yang anda lihat, dengar dan rasa memberi impak kepada keputusan anda dalam game. Hampir keseluruhan antaramuka pengguna (user interface) mudah untuk difahami dan ada banyak klu visual yang membantu pemain untuk dapatkan apa mereka mahukan.

Apakah cabaran terbesar untuk membangunkan King’s League II?

Peta King’s League II

Kami mahu King’s League II lebih besar berbanding game King’s League sebelum ini. Satu ciri yang kami mahu bawa masuk adalah mod penceritaan penuh yang boleh memberitahu kisah mendalam dunia King’s League dan Postknight. Ini terbukti sebagai cabaran besar kepada kami memandangkan kami masih lagi belajar tentang selok-belok mengarang cerita.

King’s League II adalah sebuah game pengurusan yang berlandaskan sistem kalendar mengikut masa sebenar. Sistem ini memberikan pengalaman permainan yang pantas tetapi apa yang kami lihat satu cerita boleh memberhentikan kalendar dan memperlahankan pengalaman.

Pada mulanya, kami cuba untuk memberitahu cerita ini seperti biasa iaitu ada karakter bercakap selepas berinteraksi dengan pemain. Ini terpesong jauh daripada pengalaman yang kami ingin bawakan kerana kaedah penceritaan ini akan memperlahankan rentak permainan terlalu kerap. 

Melalui ujian kami, kami lihat ramai pemain melangkau (skip) dialog. Mula-mula, kami ingat ini adalah kerana kelemahan penulisan kami yang mana ianya tidak menarik dan kami cuba memperbaiki dari situ. Selepas 18 bulan dalam pembangunan, kami baru sedar pendekatan kami untuk penceritaan adalah salah sama sekali. 

Babak dialogue antara karakter King’s League II

Kami semua sepakat dalam satu kesimpulan iaitu jalan cerita sepatutnya tidak mengarah cara permainan (gameplay) tetapi sebaliknya, ia untuk meningkatkan cara permainan. Dalam game berbentuk pengurusan, pemain perlu melakukan banyak keputusan dan keputusan-keputusan ini menambah masuk ke dalam permainan yang unik. Jika penceritaan mengambil tampuk, maka banyak pilihan pemain jadi sia-sia.

Kami ubah pendekatan kami. Daripada memberikan penceritaan yang kami mahu beritahu pada awal, kami mengambil pendekatan untuk menyampaikan cerita menarik yang boleh dilakukan dalam bentuk game. Dialog hanya akan keluar untuk saat-saat tertentu ketika adanya jeda (pause) dalam game. Sebagai contoh, kami memulakan dialog semasa game itu terhenti seketika apabila pemain akses masuk ke menu Quests.

Untuk mengekalkan momentum game, kami pecahkan penceritaan kepada beberapa bahagian. Pemain boleh mengakses sesetengah ciri dalam masa tertentu. Kami juga fokus lebih kepada karakter dan mengehadkan beberapa karakter dalam satu babak. Dengan cara ini, hampir kesemua karakter ada masa untuk bersinar tanpa menjadikan babak terlalu panjang. Penceritaan yang memberi tumpuan kepada karakter adalah lebih sesuai dengan teras mekanik permainan iaitu merekrut dan mengurus karakter.

Sesetengah dialog akan dimainkan semasa pemain akses menu Quests

Hasrat asal kami dengan mod penceritaan adalah untuk mengeluarkan isi permainan dengan lebih mendalam. Kali ini, kita lebih fokus kepada kisah karakter terlebih dahulu tetapi mengurangkan fokus terhadap sejarah dunia (lore) game ini. Kami meletakkan perhatian lore melalui bacaan teks di tempat-tempat dijelajahi pemain seperti penerangan kota, nama-nama senjata dan banyak lagi kepada pemain yang menyukai lore. Melalui cara ini, ia juga tidak mengganggu pengalaman game kepada mereka tak kisah tentang lore.

Dari permulaan pembangunan sehingga pelancaran, kami terpaksa singkirkan banyak persepsi naratif game dan belajar untuk menyampaikan penceritaan dalam game ini dalam cara luar dari kotak pemikiran kami. Pada akhirnya, saya berasa sangat lega kerana kami bukan sahaja berjaya menyampaikan jalan cerita dengan berkesan tetapi kami juga menjadi pembangun game yang lebih baik melalui proses-proses ini.

Apakah aspek yang paling menarik dalam game ini? Ada easter egg istimewa yang kami patut tahu?

Postknight berkisar seorang satria menghantar barang di seluruh Kurestal

Aspek paling menarik adalah penceritaan yang merentasi ke game ciptaan Kurechii lain! King’s League selalu berkongsi dunia dengan Postknight dan Tiny Guardians. Dalam King’s League II, kami telah mengusahakan cara untuk menyatukan mereka. Anda akan dapat tahu lebih banyak tentang Postknights dan struktur masyarakat di Kurestal. Terdapat juga soseh-soseh tentang negara lain dalam dunia King’s League II untuk menandakan apa yang akan datang.

Khas untuk peminat Postknight, anda juga boleh rekrut hero Postknight dalam Story Mode.

Untuk peminat King’s League, apa perkara baru yang mereka boleh nantikan untuk King’s League II?

Latih hero untuk tingkatkan kebolehannya

Peminat King’s League boleh merasakan King’s League II kelihatan lebih bagus dan cara permainan semakin mantap. Terdapat juga Story Mode baru.

Kami masih ada Classic Mode iaitu mengekalkan formula menguruskan hero khas untuk pemain yang mahu main terus King’s League tanpa cerita.

Bilakah King’s League II akan dilancarkan di Android?

Hahaha…. bukan untuk masa terdekat. Buat masa sekarang, King’s League II adalah game eksklusif dalam tempoh masa terhad untuk Apple khusunya kepada peranti mobile. Sayang sekali, ini bermakna game ini tidak akan hadir di Android untuk jangka masa yang lama. 

Berita baik adalah King’s League II akan dilancarkan di Steam untuk PC dan Mac pada akhir tahun ini!

Nintendo Switch adalah peranti padu yang penuh dengan game indie. Bilakah kami boleh lihat King’s League II di Nintendo Switch?

Kami ada perancangan untuk membawakan game ini ke Nintendo Switch. Ini adalah sesuatu yang kami mahu lakukan dalam jangka masa panjang. Setakat ini, kami meletakkan fokus kepada pelancaran di Apple Arcade dan Steam terlebih dahulu.

Pasukan di sebalik King’s League II

Tahniah kami ucapkan kepada Yi Wei dan seluruh pasukan Kurechii ke atas kejayaan untuk King’s League II. Nantikan artikel susulan tentang bagaimana anda boleh menghantar game ke Apple Arcade!

Kalau anda berminat tentang King’s League II, anda boleh layari laman sesawang rasmi dan Twitter.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.