Komputer riba mesra alam, Acer Aspire Vero kini tiba dengan harga bermula RM3,399

By syazwanbahri | November 10, 2021

Bumi kita mempunyai sumber asli yang terhad, jadi kita mestilah berkerjasama agar kita dapat menjaga planet kita dengan baik, pada waktu sama menginovasikan teknologi baru. Itu prinsip yang diambil Acer apabila mereka mencipta komputer riba terkini, Acer Aspire Vero.

 

Komputer riba ini bukan sekadar komputer riba yang biasa. Ia direka dan dicipta berkonsepkan kelestarian alam sekitar dengan penggunaan bahan plastik pasca-pengguna di pelbagai bahagian produk itu seperti casis sebanyak 30% dan pada papan kekunci sebanyak 50%. Penggunaan plastik pasca-pengguna ini sahaja mengurangkan penghasilan gas CO2 sebanyak 21%.

Bagi pembaca yang tajam matanya, anda akan perasan bahawa komputer riba ini tidak dicatkan dan warnanya datang dari warna asli plastik pasca-pengguna demi mengurangkan penggunaan sumber alam. Walaupun ia kedengaran agak remeh, namun Acer berjaya menjadikan warna komputer ini agak menarik dengan warna kelabu yang bersulam warna hijau cerah. 

Acer juga menjamin bahawa pengguna yang mahir membuka komputer diberi pilihan untuk membuka dan menaiktaraf komponen seperti RAM dan SSD yang tersedia di panel bawah.

Demi memudahkan pengguna, anda tidak perlu membuka dan membelek pelbagai lapisan komputer ini untuk mengakses komponen-komponen itu. Hanya perlu membuka beberapa skrew dan membuka panel bawah Aspire Vero.

Huruf R dan E dibalikkan di papan kekunci untuk mencerminkan falsafah ‘Reduce, Reuse, Recycle, Rethink’ yang mendorong penghasilan produk inovatif ini.

Apa gunanya jika produk hijau ini masih berbalut plastik apabila pengguna membelinya. Acer sudah memikirkan penyelesaiannya. Kotak produk ini dihasilkan menggunakan 80-85% pulpa kertas kitar semula dan penyesuai serta kabel juga dibalut rapi menggunakan kertas dan bukan plastik. Segala grafik pada kotak penghantaran dicetak dengan dakwat soya.

Acer juga menyatakan bahawa bateri komputer riba ini akan bertahan selama 7 jam selepas diuji menggunakan aplikasi MobileMark 2018.

Tambahan pula, kotak produk ini boleh dijadikan pendiri komputer riba seperti dilihat di bawah.

Komputer riba ini ditawarkan dalam dua tetapan iaitu yang dilengkapi dengan pemproses 11th Gen Intel i5 dan 11th Gen Intel i7. Tetapan Intel i5 dilengkapi 8GB RAM manakala tetapan Intel i7 dipasangkan 16GB RAM.

Kedua-duanya menggunakan Intel Iris Xe Graphics yang mampu menjalankan tugas separa-berat seperti kerja video ringan serta permainan e-sukan seperti CSGO, VALORANT dan Dota 2. Komputer riba ini juga menawarkan cakera 512GB PCIe NVMe SSD yang boleh diganti dan dinaik taraf bagi kedua-dua tetapan.

Komputer ini juga menggunakan Windows 11 sebagai tetapan asal.

Tawaran 11.11

Acer Aspire Vero ditawarkan pada harga RM3299 untuk tetapan pemproses Intel i5 dan RM4299 untuk tetapan Intel i7.

Sempena pelancaran model Aspire Vero ini, Acer menawarkan pelbagai hadiah percuma bagi setiap pembelian pada 11 November hingga 19 November seperti beg galas Acer, set kepala nirwayar Acer Gateway Pro, kredit Touch ‘n Go eWallet dan lain lagi.

Anda boleh mendapatkan produk ini di lokasi-lokasi atas talian seperti berikut:

Pembeli juga akan bekerjasama dengan Acer untuk mengguna pakai lebih banyak pokok di Taman Tugu; bagi setiap Aspire Vero yang dibeli, RM100 akan disalurkan untuk membiayai penggunaan pokok. Acer Malaysia menyasarkan untuk mengguna pakai 15 lagi pokok dengan sokongan pelanggan.