Kyrul Gaming – pengulas PUBG Mobile yang berbakat besar

By Hazril Md Nor | February 24, 2021

Ramai yang tak tahu sebenarnya pengulas e-sukan kebanyakannya bermula dengan perjalanan yang agak sukar.

Dengan hanya mengulas scrims (sesi latihan bersama pasukan profesional), kadangkala mereka hanya mencuba nasib mengulas dan tidak meminta bayaran.

Khairul Afiq Kamarulzaman atau Kyrul Gaming, 21, antara anak muda yang mempunyai minat mendalam dalam bidang pengulasan e-sukan PUBG Mobile.

 

PMCC permulaan segalanya

Menceritakan kepada penulis, momen awalnya mengulas berdepan cabaran namun tidak sangka tuah memihak kepadanya.

“Pada mulanya, memang susah nak dapatkan first job. Tapi Alhamdulillah, saya cuba nasib mengulas beberapa scrim, ramai yang menyukainya.

“Saya buat pun secara percuma dan ada belajar cara mengulas daripada pengulas tersohor lain seperti OTG misalnya,” kata Khairul.

Nasibnya mula berubah apabila kejohanan antara kampus (PMCC) musim kedua dianjurkan dan pencarian pengulas dimulakan. 

“Alhamdulillah selepas memohon, saya ditawarkan untuk posisi itu. Bagi saya ia ibarat batu loncatan sebab acara ini diiktiraf sendiri oleh Tencent.

“Malah, pengalaman untuk berada sepentas bersama OTG, Topcast, Emi Mohamad dan Soultan sangat tak ternilai. Dulu selalu tengok mereka di livestream saja.

“Saya sebenarnya cuba untuk tak rasa gugup walaupun ini kali pertama mengulas di pentas ‘besar’. Walaupun tiada penonton di lokasi, tapi masih ada penonton siaran langsung akan tengok macam mana kita ulas, baik ke tidak,” katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Khairul berkata, dia menerima banyak tawaran untuk mengulas scrim selepas itu dan ada antaranya yang mengenakan bayaran.

Selain PMCC, Khairul juga baru-baru ini menjadi pengulas untuk kejohanan PUBG Mobile Club Open musim bunga (PMCO MYSG 2021) yang baru saja berakhir.

 

Kena serasi dengan pengulas lain

Menurut Khairul, dia banyak membuat persiapan sebelum mengulas dengan melihat livestream pada hari-hari sebelumnya, menganalisis pasukan mana yang bagus prestasi dan pemain yang menyerlah.

Katanya, kejohanan e-sukan PUBG Mobile ini seperti filem. Ada aliran penceritaan darpada mula sampai habis.

“Kita seperti narrator. Kena ada penceritaan daripada awal sampai habis. Kita harus letak posisi sebagai pemain itu sendiri dan macam mana nak fikir kena hype kan situasi ketika perlawanan.

“Tapi yang paling utama saya rasa adalah keserasian bersama pengulas lain. Nak hilang rasa kekok, saya banyak berbual sebelum mula mengulas jadi selepas itu kita rasa biasa duduk semeja dengan pengulas lain. 

“Stail saya juga jenis taklah begitu serius sepanjang masa dan ada masukkan elemen yang santai dan bersahaja,” ujarnya.

 

Jangan berpeluk tubuh, buat networking

Walaupun masih muda dan hijau pengalaman, Khairul tahu dia perlu terus berusaha untuk melakukan yang terbaik dan mengambil tawaran akan datang. 

“Kita kalau kerja tak boleh berpeluk tubuh dan terus pulang begitu saja. Macam saya, saya cuba untuk rapat dengan krew produksi dan individu lain di lokasi.

“Selain itu, kita kena pandai berkomunikasi, borak-borak dan buat networking. Dengan cara ini, orang tahu kita berminat untuk bekerja lagi dengan mereka,” kata Khairul.

Ketika ditanya rutin hariannya, Khairul menjelaskan secara ringkas. Sebagai penuntut universiti, dia juga bijak membahagikan masa.

“Kalau tak ada acara besar, saya akan ulas scrim waktu malam bermula jam 8 hingga 12 tengah malam. Pada sebelah pagi dan tengahari akan buat tugasan.

“Kadang-kadang kalau ada exam, saya akan buat ulangkaji waktu malam dan tak ulas scrim,” katanya.

Seperti anak muda lain, Khairul ingin terus membantu keluarganya dan mengimpikan kerjaya dalam e-sukan yang lebih cerah.

Semoga berjaya Khairul!