Lelaki Ini Menerima Anugerah Youtube Silver Play Button, Kongsi Kegembiraan Tak Terkata

By Hazril Md Nor | September 1, 2019

Youtuber Malaysia, Muhammad Nor Alif Abdul Malik seperti tidak mampu menggambarkan perasaan teruja sebaik saja menerima Anugerah Silver Play Button dari Youtube di atas kejayaannya mengumpul 100,000 subscribers di platform sosial itu baru-baru ini.

“Saya sangat berpuas hati dan syukur pada Allah S.W.T kerana bukan senang untuk memiliki anugerah ini lagi-lagi saya bergerak secara individu di channel ini.

“Ini adalah anugerah yang paling diinginkan dan sangat bernilai untuk Youtuber! 

“Tak sangka ada orang menonton video walaupun kualitinya taklah sebagus Youtuber lain. Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya,” katanya.

 

Bermula dengan kandungan gaming

Menceritakan mengenai awal pembabitannya sebagai Youtuber, Alif berkata, pada mulanya dia memfokuskan pada kandungan gaming.

“Pada September 2016, saya cipta saluran Youtube Alif Malorka yang memfokuskan pada gaming. Ini kerana saya minat dengan permainan video sejak berusia 9 tahun.

“Waktu itu saya dan abang ke rumah jiran berbangsa Cina untuk bermain game di PlayStation One dan mula mengenali permainan video seperti Grand Turismo 2,” katanya.

Pada usia itu, dia dan juga abangnya mula mengumpul duit raya dan dibantu ibu untuk membeli konsol PS1 sendiri dan sejak itu dia banyak mengisi masa lapang bermain konsol.

“Kalau ada konsol baru dari Playstation saya akan berusaha memilikinya sehinggalah dapat kumpul kesemua edisi dari 1 -4. 

“Namun, sejak usia 25 tahun, saya mula berjinak-jinak dengan dunia PC. Sejak itu, saya banyak menghabiskan masa bermain game dan di Youtube untuk menonton video gaming gadjet sehinggalah terjumpa saluran Nerd Gaming Malaysia (NGM) yang aktif sejak 2012,” ujarnya.

 

Kolaborasi bersama Nerd Gaming Malaysia

Walaupun NGM bukan pemain game profesional tapi mereka hasilkan video untuk hiburkan penonton.

“Saya mahu menjadi seperti mereka tapi tak tahu nak mula macam mana. Setiap hari saya lakukan kajian di Google dan Youtube dan selepas beberapa lama, saya mula beli barang keperluan asas iaitu kamera dan belajar menyunting video menggunakan Sony Vegas Pro, 5 jam sehari selama 2 minggu.

“Rakaman video pertama bermain Outlast 2 Demo saya kongsi di laman sosial gamer iaitu Fundeavour.

“Walaupun jumlah tontonan tidak sampai 100 tapi saya tak berputus asa dan terus memuat naik video sehinggalah berpeluang berkolaborasi dengan saluran Youtube Nerd Gaming Malaysia,” katanya.

 

Ceburi reviu video permainan dan tech

Menurut Alif, hasil dari kolaborasi itu membuatkan dia belajar banyak perkara dan seterusnya mencabar diri menceburi kandungan lain kepada reviu permainan (toys) pula.

Permainan pertama yang direviu adalah Fidget Spinner dan ia menjadi sohor kini sekali gus menaikkan jumlah subscribers lebih dari 2,000. 

“Satu video tular sehingga 180,000 tontonan dan berkat kerana memuat naik video gaming dan permainan, saya dapat tawaran sertai NGM pada Julai 2017 di bawah pengurusan Fundeavour.

“Dari situ saya sunting video untuk dua saluran. Memang mencabar kerana saya perlu buat lebih banyak kandungan dan perlu beli kelengkapan gaming menggunakan duit sendiri untuk muat naik video tech,” katanya yang mendapat sumber inspirasi dari Farhan Johari (Era of the Geeks) dan TekGila dihoskan oleh Jeffery Jasmi.

Alif berkata, percubaannya menghasilkan video reviu fon kepala dan tetikus didapati kurang memuaskan namun dia tetap positif.

“Banyak lagi perlu diperbaiki tapi kemudian saya cuba pula mempromosikan sebuah komputer riba. Alhamdulillah video itu saya hasilkan bersama rakan yang juga ahli Nerd Gaming Malaysia ketika itu.

“Sehingga kini, saya ada tiga jenis kandungan di saluran Youtube iaitu gaming, vlog dan unboxing,” katanya.

Alif bagaimanapun terpaksa meninggalkan kandungan gaming buat seketika kerana PC mengalami masalah dan mula menumpukan pada video baru iaitu Beyblade.

“Video reviu permainan Beyblade Burst menjadi tular sehinggalah sekarang.

“Alhamdulillah tak sangka setiap video permainan Beyblade menerima lebih 90,000 tontonan dan sejak itu subscribers bertambah sehinggalah 100,000 pada Julai lepas,” katanya yang layak menerima Anugerah Silver Play Button pada Ogos.

 

Harapan selepas ini

Bersyukur dengan kejayaan diperolehnya, Alif berharap lebih ramai penonton mendapat info jelas dan terhibur dengan gaya penyampaiannya.

“Saya cuba yang termampu dan berharap bidang ini mampu buka rezeki yang luas kepada saya.

“Matlamat saya untuk jadikan ia kerjaya tetap dan meraih pelbagai tawaran menarik seperti tajaan dari jenama-jenama besar,” akhirinya.

Foto adalah ihsan dari Alif Malorka.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.