M1: Pengulas, HusKKiee Kongsi Pengalaman Sebagai Hos Di Kejohanan Dunia Mobile Legends

By Hazril Md Nor | February 5, 2020

Dalam karier e-sukan, ramai yang mahu mengejar pencapaian tertinggi. Bagi anak muda Ng Zhen Chuan, 22 tahun ataupun lebih dikenali sebagai HusKKiee, dia menyahut cabaran sebagai seorang hos di Kejohanan Dunia Mobile Legends, M1 pada November lalu.

Ikuti temubual penulis bersama HusKKiee yang menceritakan cabaran dan pengalaman sebagai seorang pengulas dan hos.

 

MyGameOn: Macam mana anda dapat peluang untuk hos dan mengulas di kejohanan dunia ini? 

HusKKiee: Seminggu sebelum M1, ada pihak pengurusan bertanya kalau saya boleh ulas Mobile Legends, saya fikir inilah peluang sebab sebelum ni banyak masa yang ada clash dengan e-sukan lain. 

Pada mulanya, saya biasakan diri dengan belajar dan buat kajian tentang latar belakang setiap pasukan jadi bila dah bersiaran langsung, tak ada rasa kekok sangat dengan soalan-soalan untuk ditanyakan di depan kamera. Yang paling best, saya boleh sampaikan kepada penonton apa yang berlaku di belakang tabir.

 

MGO: Adakah anda rasa gementar sebab pertama kali menjadi hos? Macam mana anda lenyapkan rasa itu?

HusKKiee: Memang mula-mula ada rasa gementar depan kamera, lagi-lagi kena interaksi dengan pemain. Tapi saya cuba jadikan perbualan itu macam perbualan harian. Sebelum itu pun, saya akan sesuaikan diri (berkawan dengan mereka).

 

MGO: Apa cabaran yang anda selalu berdepan antara pengulasan dan hos?

HusKKiee: Cabaran terbesar yang saya hadapi adalah macam mana saya sesuaikan diri depan kamera. Sebelum ini, pengulasan hanya perlu disampaikan mengikut apa yang saya tahu tapi menjadi hos, saya perlu menghadapi gelagat orang dan cuba gambarkan diri saya sebagai penonton juga (fikir soalan apa yang mahu ditanyakan). 

Selain dari itu, saya cuba belajar bagaimana untuk bagi mesej didengari (dengan bertanyakan soalan relevan dan tak begitu kompleks). Pada masa yang sama, saya cuba jadi diri sendiri dan ia agak sukar.

 

MGO: Dengan kemahiran analytical yang ada sebagai pengulas, adakah ia membantu anda untuk menyiapkan senarai soalan bagi sesi temuramah?

HusKKiee: Ya ia membantu. Bila kita tahu lebih mendalam pasal sesuatu permainan, kita akan dapat tahu yang mana moment penting contohnya saat-saat kemenangan. Kita juga lebih tahu perspektif pemain (kenapa mereka melaksanakan sesuatu strategi) ketika perlawanan. 

Ilmu yang ada juga membantu saya untuk buat orang tahu sesuatu perlawanan dari perspektif seorang pengulas.

Pada akhirnya, saya ingin penonton tahu apa yang tersirat dalam fikiran seorang pemain selepas habis sesuatu perlawanan.

 

MGO: Yang mana lagi susah, hos atau mengulas?

HusKKiee: Bagi saya, menjadi seorang hos adalah lebih mencabar.  Kalau nak diikutkan, saya ingin terlibat lebih banyak dalam bidang pengacaraan (hos) dan seimbangkan kedua-duanya. Yang penting, saya boleh belajar soft skills untuk tingkatkan kemahiran komunikasi dan interaksi bersama kamera.

 

Antara lima pencapaian terbaik Huskiee sebagai pengulas:

  • Mengulas kelayakan Asia Tenggara bagi The International 2018 (Dota 2)
  • Mengulas kejohanan dunia Mobile Legends, M1
  • Mengulas kejohanan Acer Predator 2017 dan 2018
  • Mengulas ESL Clash of Nation
  • Mengulas kelayakan serantau Brawl Stars World Championship

Kejohanan Dunia M1 berlangsung pada 15 hingga 17 November tahun lepas, menyaksikan EVOS Legends bergelar juara, bawa pulang RM332,000.

Ikuti perkembangan HusKKiee dalam karier e-sukannya di laman Facebook page miliknya, HusKKieeCast

Baca berita berkaitan M1 di mygameon.my/tag/m1