Microsoft dan Sony Bekerjasama Untuk Teknologi Cloud Untuk Penstriman & Gaming

By Intan Mawarni | May 17, 2019

Google Stadia dan Amazon bakal ada persaingan baru iaitu memperkenalkan gabungan Microsoft dan Sony.

Microsoft dan Sony mengetepikan persaingan antara syarikat dan memeterai kerjasama untuk inovasi servis cloud baru untuk gaming dan artificial intelligence (AI). Dua syarikat teknologi ini menjalin hubungan bagi meningkatkan khidmat pelanggan dalam produk hiburan mereka dan penyelesaian AI.

Dalam kenyataan rasmi, dua syarikat ini akan bersama-sama membangunkan servis cloud dalam Microsoft Azure untuk menyokong kedua-dua servis game dan kandungan penstriman. Ini bermakna kandungan game dan penstriman Sony akan dijana melalui data dikumpul daripada Microsoft Azure. 

Dari kiri: Presiden & CEO Sony, Kenichiro Yoshida dan CEO Microsoft, Satya Nadella

Tujuan kerjasama ini membantu pembangunan platform yang baik untuk komuniti pencipta kandungan. Selain servis cloud untuk gaming dan penstriman, Sony dan Microsoft turut bekerjasama untuk semikonduktor dan AI.

Menurut presiden dan CEO Sony, Kenichiro Yoshida berkata, “PlayStation ini terbentuk dengan integrasi kreativiti dan teknologi. Misi kami adalah untuk mengembangkan platform secara lancar (bersama Microsoft) dengan teknologi bagi menghasilkan pengalaman hiburan terbaik dan mendalam di mana-mana sahaja anda berada.

“Microsoft telah menjadi rakan bisnes kami dan semestinya dua syarikat ini mengadakan persaingan untuk beberapa aspek selama bertahun-tahun. Saya percaya kerjasama untuk servis cloud akan memberikan manfaat penting dalam kemajuan kandungan interaktif.”

Google Stadia didatangkan dengan controller khas dan boleh dipancarkan melalui kaca TV, skrin telefon dan tablet. Sumber gambar: Den of Geek.

“Sony selalu menjadi pemimpin utama dalam sektor hiburan dan teknologi. Kerjasama yang kita umumkan pada hari ini akan termasuk dalam lipatan sejarah inovasi,” kata CEO Microsoft, Satya Nadella. “Kerjasama ini akan membawakan kepakaran Azure dan Azure AI kepada Sony untuk pengalaman gaming dan hiburan baru kepada pengguna.”

Pada tahun lepas, Microsoft mengumumkan Project xCloud iaitu satu sistem penstriman gaming untuk konsol Xbox manakala Sony mempunyai PlayStation Now tetapi hanya boleh diakses untuk sesetengah negara sahaja. Beberapa bulan lalu, Google juga mendedahkan Google Stadia iaitu sebuah konsol gaming terbaru yang boleh distrim ke pelbagai produk Google seperti pelayar internet Chrome, pelayar TV Chromecast dan telefon pintar Pixel.