Midwest 90: Rapid City permainan video indie tempatan dengan tema ‘midwest’

By Mike Hayate | May 21, 2021

Midwest 90: Rapid City adalah permainan video yang tercipta dari hasil inspirasi di sebuah restoran makanan yang menjual makanan gaya Amerika Syarikat. Sebuah studio di Malaysia telah berjaya menggunakan inspirasi ini menghasilkan sesuatu yang lebih menarik iaitu Midwest 90: Rapid City.

Untuk pengetahuan semua permainan video ini juga mendapat liputan berita di Amerika Syarikat yang juga memuji konsep ini dengan gambaran Barat Tengah Amerika Syarikat. 

Ikuti temubual ekslusif bersama pengasas dan pengarah permainan video di Hidden Chest Studio Sdn Bhd.

 

Boleh perkenalkan diri sendiri dan sejarah anda dalam industri permainan video ini?

Nama sayan Keshavar Ganesparan. Semua orang boleh panggil saya Kesh. Saya merupakan salah seorang pengasas dan pengarah permainan video di Hidden Chest Studio Sdn Bhd. Hidden Chest Studio merupakan sebuah studio indie di Malaysia yang terdiri oleh saya dan pengasas lain Alex Tan dan Tan Yi Ming dan unit pasukan yang kecil.

Sebelum ini saya pernah berkhidmat di E-One Studio pada tahun 2012. Pada mulanya sebagai pengurus komuniti dan pelbagai posisi lain, termasuk penerbit.

 

Bagaimana idea Midwest 90: Rapid City boleh tercetus? Mengapa permainan video ini menggunakan konsep Barat Tengah Amerika dan bukannya tema Malaysia?

Midwest 90: Rapid City tercetus dari inspirasi apabila saya pergi ke restoran kawan saya di Petaling Jaya – Betty’s Midwest Kitchen.

Inspirasi ini tercetus apabila saya tengah makan salah satu burger terkenal maka tercetuslah persoalan “Kalau ada raksasa dekat luar restoran adakah mereka akan cuba dapatkan burger ini juga?”

Ini merupakan asas idea saya yang terdetik. Apatah lagi saya langsung tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang Amerika Barat Tengah.

Selepas pelbagai kajian mengenai Barat Tengah Amerika, saya memilih South Dakota sebagai lokasi untuk permainan video saya.

South Dakota merupakan tempat yang aman dan sangat menarik terutamanya mengenai orang asal Amerika. Black Hills yang penuh dengan sejarah seperti zaman lombong emas di Amerika. Tidak lupa juga Sanford Underground Research Facility yang terletak di Homestake Mine yang pernah menjadi salah satu tempat melombong emas terbesar dan paling dalam di Amerika Utara.

Selain itu, terdapat juga silo peluru berpandu minutemen (militia Amerika pada tahun Revolusi Amerika) tertanam di sana dengan landskap yang asing di Badlands.

Semua elemen-elemen ini menjadi resipi yang sempurna untuk cerita menarik di tengah-tengah Rapid City.

Malaysia yang menjadi tempat asal saya merupakan tempat yang baik untuk membuat permainan video baru. Saya percaya bekerja dengan penuh semangat dan mengikut inspirasi diri sendiri adalah faktor yang menentukan diri anda di mana.

 

Bagaimana dengan perubahan konsep asal permainan video ini sudah semestinya berubah-rubah mengikut masa?

BANYAK yang berubah dari visi asal permainan video ini.

Setakat ini, Midwest 90: Rapid City menggunakan konsep tycoon restoran dengan penceritaan yang kuat. Hal yang jarang berlaku untuk permainan video genre ini.

Banyak idea original dan komponen unik dibuat hanya untuk mendapatkan yang lebih menarik tetapi terpaksa dibuang atas dasar kekurangan bajet.

Boleh dikatakan 60% idea asal telah disingkirkan tetapi itu bukan perkara yang tidak baik bagi saya. Ini membuatkan pasukan kami lebih fokus dengan idea teras supaya lebih seronok. Saya merasakan hal ini mematangkan kami sebagai pemaju permainan video.

 

Siapakah orang-orang yang disasarkan untuk bermain permainan video ini?

Kami membuat permainan video ini untuk semua pelusuk masyarakat yang menyukai idea tentang menjaga restoran steakhouse Amerika Syarikat. Bermula dengan restoran kecil dengan empat meja bertukar ke pekan kecil dan akhirnya menjadi restoran besar dengan beberapa makanan raksasa yang sudah semestinya sedap.

Kami juga menggunakan ispirasi dari cerita Netflix “Stranger Things” untuk suasasa dan penceritaan untuk Midwest 90. Sebaliknya kita juga perlu mengurus restoran apabila diserang oleh raksasa.

Pemain juga akan mengalami cara bermain seakan Fallout yang sangat membantu. Disebalik hanya menggunakan tema pasca apokalips, kami memilih garis masa (timeline) masa hadapan semasa zaman New Great Depression.

 

Apakah contoh cabaran-cabaran yang perlu ditempuh semasa pembikinan permainan video ini?

Sebagai syarikat permainan video indie, bajet yang kecil adalah antara hal yang paling mencabar.

Bajet yang mencabar terutama di Malaysia kerana untuk mendapat sokongan kewangan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Tetapi kami masih bersyukur dengan bantuan MDEC walaupun tidak berapa banyak.

Cabaran paling ketara ialah semasa pandemik ini. Bekerja di rumah dapat membantu mengurangkan kos dan lebih mudah untuk semua komunikasi dan projek untuk pengurangan penggunaan pejabat.

Walaubagaimanpun bersemuka secara berdepan adalah lebih efektif untuk menyampaikan idea-idea daripada saya kepada pasukan saya.

 

Apakah antara easter eggs dalam Midwest 90?

M90 masih baru dalam pembikinan, oleh itu masih belum ada lagi easter eggs dalam M90. Akan ada nanti.

Apakah nasihat yang anda boleh beri untuk individu yang hendak mencipta konsep permainan video, cerita, tema dan karakter sendiri?

Sentiasa berani dengan idea sendiri dan cuba untuk mendapatkan maklumbalas dari orang yang betul.

Boleh dikatakan saya sangat beruntung mempunyai kawan-kawan dari industri restoran, filem dan permainan video untuk berkongsi segala konsep dan mendapat maklumbalas dari mereka. Ini lebih membantu saya untuk memahami dan mengetahui apa yang boleh digunakan atau tidak boleh.

 

 

Bila pemain-pemain boleh menjangkakan tarikh pelancaran Midwest 90: Rapid City?

Setakat ini, kami masih belum menentukan tarikh keluaran untuk M90. Tapi jangkaan kami, akses awal M90 mungkin pada hujung Oktober ini.

Ada apa-apa pelan baharu untuk menyambung siri ini pada masa hadapan?

Ada! banyak idea-idea kami yang telah disingkirkan daripada Rapid City tapi cerita-cerita yang kami singkir itu masih boleh digunakan untuk masa hadapan. Tapi sebelum itu, saya mahu semua orang dapat bermain Midwest 90: Rapid City sebagai satu permainan video baru yang unik.