Mobile Legends: Geek Events Menaja Pasukan Moonchild Dari Sabah, Bertanding Dalam Geek Championship 2019

By Hazril Md Nor | May 15, 2019

Geek Events hari ini mengumumkan mereka akan menjemput (direct invite) pasukan yang diwakili pelajar sekolah berusia antara 16 hingga 17 tahun iaitu Moonchild dari Sabah untuk bertanding dalam Mobile Legends Geek Championship (MGC) 2019 yang akan bermula pada 18 dan 19 Mei ini.

Kejohanan dua hari ini ditaja dan disokong oleh Moonton, pembangun permainan mudah alih ini. Sebelum ini, seramai 512 pasukan menyertai pusingan kelayakan dan hanya beberapa skuad saja yang layak untuk merebut RM50,000 hadiah wang tunai terkumpul pada hujung minggu ini.

Dalam satu kenyataan, Geek Events berkata, disebabkan ahli Moonchild adalah pelajar sekolah yang mempunyai kesukaran menghadiri kejohanan yang jauh, pihak mereka akan membantu dari segi penginapan dan tiket penerbangan dari Sabah ke Kuala Lumpur.

“Kami percaya setiap atlet muda berbakat yang menunjukkan kesungguhan patut diberi peluang untuk bertanding tidak kisah dari mana mereka berasal atau latar belakang mereka,”

Terdahulu, Moonchild mengejutkan ramai pihak di dalam pemilihan Sukan SEA yang mengumpulkan banyak pasukan Mobile Legends tersohor. Mereka berjaya menewaskan Xpax X-Assins walaupun dianggap underdog dalam pemilihan itu.

Menurut laporan WTM Today, komuniti e-sukan di Sabah pernah melancarkan bantuan segera untuk menampung dana bagi perjalanan dan pengurusan Moonchild di Kuala Lumpur ketika pemilihan Sukan SEA 2019.

Bantuan itu dilaksanakan kerana Moonchild perlu menampung sendiri kos pengangkutan dan penginapan kerana pihak penganjur lewat memberitahu info tentang acara pemilihan itu.

Sementara itu, Geek Fam Mobile Legends tidak dapat menghadiri finals sebagai pasukan jemputan kerana mereka perlu ke Singapura bertanding untuk kejohanan Clash of Champions.