Mobile Legends: MPL Indonesia Guna Model Liga E-Sukan Berfrancais – USD1 Juta Untuk Satu Slot

By Hazril Md Nor | July 24, 2019

Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Indonesia (MPL ID) kini kembali untuk musim keempat.

Dalam satu kenyataan media, penganjur menggunakan model liga e-sukan seakan Overwatch League — yang pertama di Asia Tenggara. Model ini bukan saja disasarkan untuk mencipta suasana e-sukan lebih stabil tapi juga mewujudkan kestabilan kewangan bagi pasukan dan pemain sementara menubuhkan struktur sistematik dalam industri e-sukan Indonesia.

Ia akan berlangsung selama lapan minggu di mana musim liga akan bermula pada 23 Ogos ini hingga 13 Oktober 2019. Di mana? Ia akan diadakan di XO Hall Tanjung Duren dan Grand Final pula di Tennis Indoor Senayan, Jakarta (26 Oktober hingga 27 Oktober).

Juara musim lalu, Onic Esports kembali bersama tujuh lagi skuad, Alter Ego, Aura, Bigetron Esports, EVOS, Geek Fam Indonesia, Genflix Aerowolf dan Rex Regum Qeon.

“Disebabkan model liga yang baru ini, ia akan memperketatkan lagi peraturan yang menekankan pada isu kontrak antara pasukan dan pemain. Dengan adanya pasukan tetap (lapan pasukan), ia membolehkan liga ini menggunakan sistem yang boleh melindungi kesemua pihak terlibat,” kata Pengarah Pemasaran MPL ID, Dylan Chia.

Model ini memberikan pasukan satu slot kekal dalam liga ini untuk bayaran francais (one-time fee) berjumlah USD 1 juta. Mahal kan? Tapi jom kita tengok kebaikan yang diperoleh oleh pemain dan pasukan yang membayar slot ini:

  • Adil untuk semua – setiap pasukan tak dialukan untuk tawar gaji lebih tinggi dari nilai ditentukan kerana perlu ada peruntukan mempromosikan pasukan dan kos operasi perlu ditanggung.
  • Perkongsian keuntungan yang mana setiap pasukan boleh menerima lebih 50% keuntungan dari liga sebelum menolak kos operasi liga dan kos pemasaran yang ditanggung Moonton.
  • Jaminan pekerjaan untuk kedua-dua pihak (pasukan dan pemain kerana tiada lagi relegation)  
  • Kontrak pemain dengan gaji tetap dan minimal 6 bulan bagi setiap musim
  • Nilai komersial – Pelaburan bersama antara Moonton dan pasukan ini membolehkan liga ini mewujudkan kerjasama antara pemain industri bagi mencipta aliran pendapatan baru dan solusi pemasaran untuk jenama, pasukan dan pemain.

Mereka juga akan menyertai MPL ID akan datang (musim lima dan selanjutnya) kerana membeli slot tersebut.

Selain itu, MLBB juga akan melabur sebanyak USD8 juta untuk memperkasakan komuniti e-sukan di Indonesia khususnya dalam Mobile Legends.

“Selain pertandingan profesional, kita perlu mewujudkan ekosistem e-sukan yang berkesan bermula dari peringkat akar umbi,” kata Pengarah Serantau E-Sukan MLBB, Logan Shaw.

Katanya lagi, banyak pertandingan akan dianjurkan bukan saja untuk pemain menjadi profesional tapi juga mempunyai peranan dan kemahiran lain seperti menganjurkan pertandingan, menjadi bakat di depan skrin dan lain-lain.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.