Mobile Legends: Qayum Faez (Todak) Bukan Saja Handal Main Game Tapi Juga Gemar Bersukan

By Hazril Md Nor | January 15, 2020

Ramai yang salah anggap, mengaitkan e-sukan dengan gejala anti-sosial dan malas keluar rumah. 

Tapi bagi atlet e-sukan, Muhammad Qayum Faez Abdullah, 26, dia bukan saja handal bermain game tapi memilih untuk menjalani kehidupan lebih sihat dengan bersukan.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam sukan, pemain skuad Todak ini adalah wakil sekolah dalam sukan bola sepak.

“Saya sangat aktif bersukan pada zaman sekolah sehingga boleh menjadi wakil. Selepas itu, saya aktif futsal sebab ada sertai beberapa pertandingan sejak berusia 21 tahun.

“Ramai kawan-kawan aktif sukan dan mereka memang meminati kelab bola sepak antarabangsa sampaikan topik harian kami pasti meliputi sukan ini,” kata Qayum.

Qayum juga bijak membahagikan masa antara bersukan dan bermain game. Sejak bergelar pemain Todak setahun lalu, dia akan memperuntukkan sekurnang-kurangnya tiga kali seminggu untuk bersukan.

“Pada hari Rabu, kami akan bermain badminton. Ia adalah aktiviti wajib bagi setiap pemain kerana Rabu adalah hari cuti. 

“Kalau bukan Badminton, selalunya futsal ataupun senaman lain seperti berjogging,” kata Qayum.

Di Instagram @qayumfaez, dia juga ada memuat naik foto bermain bola sepak dan bersukan.

 

Selesa sebagai pemain Todak

Sebagai pemain e-sukan, Qayum meminati permainan Mobile Legends: Bang Bang sejak ia awal dikeluarkan.

“Saya bermain sejak musim pertama. Bagi saya, ia lebih mirip dengan permainan di PC seperti Dota 2 dan League of Legends.

“Ramai juga bertanya kenapa main, saya menyukai permainan ini kerana ia di platform mudah alih, senang nak akses dekat mana-mana,” katanya yang berasal dari Melaka.

Ditanya rutin harian sebagai pemain, pasukan Todak memperuntukkan tujuh jam sesi latihan.

“Kami bermain bermula tengahari dan akan berlanjutan selama 7 jam. Di antara latihan, kami akan ada waktu rehat untuk solat Zuhur dan Asar selain makan.

“Latihan kami pula biasanya akan scrim (berlatih) bersama negara luar seperti Indonesia dan Singapura, lagi-lagi apabila kejohanan besar seperti MPL menghampiri,” katanya.

Sama seperti pasukan e-sukan di Eropah, mereka juga dibayar elaun dan memperoleh duit kemenangan dari pertandingan.

Todak diwakili oleh Eone, Lychee, Moon, Nenas, Xray, Ciku dan jurulatih, Hangus.

 

Rapat seperti keluarga, adik beradik

Kali pertama bermain sebagai satu pasukan, dia merasa sedikit kekok kerana tidak mengenali pemain-pemain lain tapi kini semuanya berubah.

“Mula-mula tu memang lah tak bertegur sangat kecuali Moon sebagai kami dah rapat. Tapi sejak menang pertandingan bersama, perlahan-lahan boleh membiasakan diri dan bertambah erat sebagai kawan.

“Dalam pasukan Todak ini, kami ibarat adik beradik, boleh berkongsi masalah. 

“Sebagai pemain yang paling berusia, saya banyak bagi dorongan dan nasihat. Tapi yang paling penting apa saya amalkan, mereka perlu layan saya macam sama umur dan hormati antara satu sama lain,” ulas Qayum.

Kata Qayum, bagi musim kali ini, dia akan menjadi pemain utama dalam barisan Todak.

“Bagi Liga Profesional Mobile Legends (MPL), saya akan buat yang terbaik bersama pasukan. Saya akan kerap tengok Youtube dan belajar menganalisa patch baru untuk kefahaman sendiri dalam permainan,” katanya mengakhiri perbualan.