Mobile Legends: “Ramadan Kali Ini Kurang Meriah, Tapi Saya Bersyukur,” – Xorn (Geek Fam)

By Hazril Md Nor | April 28, 2020

“Terasa sedikit kurangnya kemeriahan beribadat ketika bulan Ramadan kerana PKP, tapi pada masa yang sama saya lebih bersyukur diberi kesihatan yang baik dan tempat tinggal selamat untuk teruskan beribadat,” itu kata Mohd Zul Hisham Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Xorn dalam arena profesional Mobile Legends: Bang Bang.

Kata kapten pasukan Geek Fam itu, dia cuba dengan sedaya mungkin memperbaiki amalan di bulan mulia ini.

“Saya cuba memperbaiki amalan dengan solat di awal waktu dan lebihkan bersedekah,” katanya.

Xorn berkata, dia dan rakan seperjuangannya yang lain di Geek Fam memilih untuk berbuka puasa dan sahur dengan ringkas.

“Kalau tidak memasak, kami selalunya akan menggunakan perkhidmatan servis penghantaran makanan saja.

“Di bulan puasa ini, memang saya rindukan tepung pelita, lompat tikam, roti john dan murtabak,” katanya yang tinggal di gaming house.

Ketika ditanya mengenai persiapan menjelang playoffs Liga Profesional Malaysia dan Singapura (MPL MY/SG) Musim Kelima, Xorn berkata, mereka cuba mengenalpasti kesilapan dilakukan sepanjang musim liga.

“Kami cuba perbaiki kesilapan dengan menonton video yang lepas dan pada masa yang sama, belajar lebih fokus ketika berlatih,” kata Xorn.

Menurutnya, meta hyper carry juga masih boleh digunakan kerana nerf hanya pada Mask dan bukannya buff ungu dan merah. Terjadinya meta adalah disebabkan kedua-dua buff tersebut.

Xorn juga banyak meluangkan masa menyaksikan video perlawanan pemain profesional dari negara lain bagi menyesuaikan diri menjadi seorang pemain multi-role.

Katanya kepada peminat Geek Fam, dia mengharapkan sokongan tanpa henti dan untuk MPL playoffs, mereka akan all-out sepenuhnya.

“Insya-Allah kalau ada rezeki kami akan cuba memenangi MPL buat kali kedua,” katanya.

Pada musim liga yang lalu, Geek Fam mencatatkan rekod kemenangan cemerlang, menjadi satu-satunya pasukan Malaysia dengan pengumpulan mata lebih dari 10.

Playoffs akan bermula pada 1 Mei ini (Jumaat) hingga 3 Mei (Ahad).

Dua pasukan Singapura, Siren Clan dan Notorious Villains tersingkir dan tidak layak ke playoffs.
Geek Fam akan bertempur dengan EVOS SG pada jam 8 malam Jumaat ini.