Mobile Legends: [RASMI] AirAsia Saiyan Gugur Enam Pemain

By Hazril Md Nor | November 8, 2018

Kami melaporkan sebelum ini Honor MyA menolak tawaran menyertai organisasi terkenal yang akan menggugurkan enam orang pemain. Nampaknya hari ini ia menjadi kenyataan.

AirAsia Saiyan hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi di Facebook mereka mengumumkan pengguguran enam nama iaitu Ahmad Fuad ‘Fredo‘ Alili, Mohd Farid ‘Soloz‘ Zakaria, Abdul Wandi ‘Logan‘ Abdul Kadir, Andi Alfian ‘Gripex‘ Firman, Sofian ‘Penjahat‘ Sultan dan Herwin ‘Rush‘ Baharuddin dari roster rasmi ASYN.

“Keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan pemain yang menyuarakan rasa tertekan bermain di bawah jenama yang besar (AirAsia). 

“Ada juga yang mempunyai niat untuk tinggalkan arena kompetitif dan fokus sepenuhnya kepada streaming,” kata Jeffery Chan, General Manager AirAsia Saiyan.

AirAsia Saiyan memenangi kejohanan MLBB All-Star Arena di Gegaria Putrajaya

Jeffery juga menambah dalam kenyataan itu mengatakan skuad ASYN antara yang paling berjaya dalam Mobile Legends esports kerana gameplay dan populariti tapi langit bukan selalu cerah.

“Kami percaya mereka ada potensi untuk membawa industri esports di Malaysia ini ke tahap lebih tinggi. Walaupun kami tekad untuk teruskan, kami percaya ia juga perlukan kerjasama kedua pihak.

“Biarpun pemain terikat dengan kontrak 24 bulan, kami takkan sesekali menghalang mereka untuk menempa nama sebagai streamer jadi keputusan sukar ini terpaksa dibuat,”

MASA DEPAN AIRASIA SAIYAN

Bagaimanapun kata Jeffery, organisasi ASYN masih komited sepenuhnya kepada esports dan arena kompetitif Mobile Legends jadi mereka akan terus mencari bakat baru untuk melengkapkan roster yang kekosongan ini.

“Kami akan umumkan pelan ini pada masa depan.

“Ia akan jadi satu cabaran besar tapi memandangkan musim MPL seterusnya hanya akan berlangsung pada 2019, kami percaya dengan baki masa yang ada ini, kami mampu untuk bina kembali skuad yang sama hebatnya dengan ASYN 2018 (Team Saiyan) yang semua orang kagumi.

“Sebagai organisasi esports, ini adalah cabaran terbesar dan kami ingin semua orang terus menaruh kepercayaan terhadap apa yang kami lakukan selama ini,”

Sementara itu, pengurus ASYN, Jin (Jinzy) rasmi meninggalkan organisasi itu manakala Ann Farhan (Hawkeye) pula akan terus kekal bersama ASYN dan akan membantu untuk membina roster baru bersama dengan pihak pengurusan ASYN.

Pencapaian terbaik mereka ialah memperoleh tempat keempat di Liga Profesional Mobile Legends (MPL) musim pertama, layak ke Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2018 dan banyak lagi.

Semestinya pengumuman mengejutkan ini akan memberikan impak yang besar dalam arena Mobile Legends tempatan. Kita masih belum tahu hala tuju sebenar pemain ini dan skuad manakah yang akan dibentuk ASYN nanti. 

Nantikan artikel susulan dari kami.