Mobile Legends: ‘Saya Bersyukur, Ini Adalah Impian Kami Selama Ini,’ – Amir Nusahir

By Hazril Md Nor | July 9, 2018

Pusingan Wild Card bagi Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY SG baru saja berakhir semalam menyaksikan pasukan underdog We Own World (WoW) menewaskan skuad FV.MyA (Mysterious Assassin) yang juga tempat ketiga dalam MPL musim lalu.

WoW cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas FV.MyA lantas melayakkan mereka ke musim liga bersama 7 lagi pasukan Malaysia dan Singapura pada 10 Ogos ini bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul RM399,000.

Pengurusnya, Muhammad Amir Nusahir Mohd Azlan meluahkan rasa syukur atas kemenangan yang tak disangka itu. Katanya, bukanlah mudah untuk terus tenang apabila berdepan dengan salah satu skuad terbaik Mobile Legends negara.

“Lepas kalah dengan ICON, kami terus bangkit dan buat persiapan rapi. Kami memanfaatkan sepenuhnya penggunaan Natalia dan membuat kejutan kerana ramai sedia maklum kami tiada pemain Natalia dan selalu menggunakan Diggie. Tapi dalam masa seminggu itu, kami praktis sebaiknya untuk menjadikan Natalia sebagai hero playmaker dalam perlawanan penentuan ini,” katanya ketika dihubungi.

Amir berkata, kejayaan ini menjadi impian setiap ahli pasukan yang sudah lama menunggu sejak dulu.

“Alhamdulillah, akhirnya impian kami tercapai. Memang ini pun matlamat kami (melayakkan diri ke MPL musim kedua),” katanya.

Ketika ditanya siapakah idol untuk pasukan mereka, Amir berkata, secara peribadinya dia mengagumi pemain MyA, King Zyzz dan pasukan Tyrants. 

“Pada mula penubuhan skuad dulu, saya banyak bertanyakan tips dan strategi daripada Zul (King Zyzz) dan kami juga kerap friendly. Dia selalu memberi motivasi untuk terus jadi yang terbaik dalam Mobile Legends. Begitu juga skuad Tyrant ibarat mentor yang selalu menyokong livestream dan perjalanan skuad kami,” katanya.

Amir berkata, dia percaya setiap pasukan mempunyai rahsia mereka tersendiri untuk memotivasikan pemain dan skuadnya juga tak terkecuali.

“Saya percaya semuanya bermula daripada kasih sayang. Kalau setiap pemain ambil kisah antara satu sama lain, jadi rapat macam kawan maka dari situ akan hadir keserasian. Pokoknya, kena selalu kerap berkomunikasi.

“Insya-Allah, selepas ini kami akan berlatih dengan lebih gigih untuk peminat dan konsisten terhadap apa juga cabaran mendatang,” katanya.

Pasukan We Own World  terdiri daripada enam orang pemain. Mereka adalah Syafiq Aznee “Shanks” Azhar, Mohd Syahmi “Vinsmoke” Mohd Shamsol, Mohamad Aiman “Xray” Idris, Zairul hazim “Dragon” Zailani, Wan Muhammad Afif “Luffy” Wan Abdul Aziz, dan Mohd Azri “Mihawk” Abdul Rahman.