MPL: “Tahniah untuk Ashi dan kawan-kawan yang lain di Todak,” – Nenas

By Hazril Md Nor | October 26, 2020

“Tahniah untuk Ashi kerana berjaya membawa nama Todak menjadi juara dan beri kepercayaan kepada pasukan untuk berjaya dalam MPL  kali ini,” itu kata bekas pemain pasukan Todak, Shahril Anuar Abdul Rashid atau Nenas yang turut sama teruja dengan kejayaan kawan-kawannya.

“Untuk kawan-kawan lain, saya memang tahu mereka boleh menang kerana kemasukan 4meyz adalah penyelamat dan berjaya membuat rekod tanpa kalah di MPL kali ini.

“Ciku pula saya memang percayakan dia semasa saya dan Ashi menawarkan peluang kepadanya masuk Todak dan saya tahu dia memang boleh berjaya. Semalam dia dah buktikan perkara ini,” katanya lagi ketika dihubungi.

Todak dianggotai oleh 4meyz, Ciku, Moon, Eone, Xray, Stoo, Ashi (pengurus) dan Manity (jurulatih/pembantu pengurus).

Nenas (paling kiri) bersama skuad Todak ketika beraksi di M1

Nenas juga mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan lain dan berharap mereka terus kekal bersama bagi menghadapi kejohanan mendatang.

Tambah pemain yang mencipta nama dengan penggunaan Minsitthar di MPL MYSG Musim Keempat ini, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kuja (Orange Louvre Esports) dan Xorn (Geek Fam).

“Tahniah dan tak sangka Kuja berjaya mendapatkan tempat tiga teratas membuktikan orang lama masih berbisa untuk MPL kali ini!

“Untuk Xorn, cuba lagi pada musim akan datang!,” katanya.

Sebelum ini, Nenas bermain bersama skuad Todak dan berjaya mendapat tempat kedua di MPL MYSG Musim Keempat dan pencapaian terbaiknya adalah tempat ketiga di kejohanan dunia, M1.

Nenas juga kini menjadi penghibur penstriman langsung dan anda boleh mengikutinya di laman Facebook NenassOfficial.

Todak pada semalam berjaya bergelar juara Malaysia selepas mengalahkan EVOS SG dengan skor 3-1.

Pemilihan hero Helcurt nyata mengubah corak perlawanan dan memberikan kemenangan mudah kepada skuad Malaysia ini.