Onimusha: Warlords Remastered Bakal Tiba Ke PC, PS4, Xbox One Dan Nintendo Switch

By Intan Mawarni | August 29, 2018

Nampaknya Capcom tengah bersemangat untuk membangkitkan semula lagi satu game klasik PS2 ke platform moden.

Dilancarkan 17 tahun lalu, Onimusha: Warlords mengisahkan seorang samurai bernama Samanosuke Akechi dan ninja bernama Kaede bekerjasama dalam misi untuk menyelamatkan Princess Yuki daripada cengkaman syaitan yang berkhidmat di bawah arahan Nobunaga Oda.

Versi remastered Onimusha: Warlords bakal dipertingkatkan dengan ciri-ciri baru seperti grafik berdefinisi tinggi, sokongan widescreen, kawalan analog stick supaya sepadan dengan controller-controller masa kini dan runut bunyi baru berlatarkan zaman feudal Jepun.

Selain itu, Capcom menjanjikan pilihan ‘easy mode‘ pada permulaan versi remastered ini berbanding game asal sebelum ini di mana korang hanya boleh dapat mode ini jika korang asyik gagal melawan musuh-musuh.

Tambahan pula, Capcom akan mengekalkan kamera tetap (fixed-camera angle) Onimusha: Warlords. Peminat asal Onimusha juga boleh pilih untuk main kawalan gameplay asal (menggunakan d-pad controller) seperti apa Capcom pernah lakukan untuk Resident Evil dan Resident Evil 0 Remastered ke PS4.

Pada asalnya, Onimusha: Warlords dibangunkan sebagai satu spin-off untuk siri Capcom lain, Resident Evil. Namun, game ini berjaya mendapat nama di hati gamers dan pengkritik sehingga menjadi satu francais terkenal dengan tiga sekuel dan juga pelbagai spin-off lain seperti game bergenre fighting, Onimusha Blades dan juga game strategi RPG berjudul Onimusha Tactics.

Onimusha: Warlords Remastered bakal dilancarkan pada 15 Januari 2019 untuk PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch.

Sumber: Polygon