Pasukan Dota 2 TI10 yang terkesan oleh COVID-19 dibenarkan bertanding

By syazwanbahri | October 8, 2021

Valve menghadapi pelbagai isu hanya beberapa hari menjelang The International 10, dengan beberapa pasukan yang dijumpai positif setelah menjalankan ujian COVID-19. Pemain Invictus Gaming yang berasal dari Malaysia, JT-, juga dikesan positif.

Syarikat dan penganjur kejohanan PGL sudah membatalkan kehadiran penonton secara langsung untuk acara itu, tetapi mereka menemui jalan penyelesaian untuk membolehkan pemain bertanding walaupun perlu dikuarantin.

Setakat ini hanya Team Aster dan Invictus Gaming adalah pasukan yang hadir di TI yang mencatatkan ujian COVID-19 positif, dengan Team Aster perlu dikuarantin kesemua 10 anggota pasukannya termasuk staf sokongan pasukan.

Team Aster mengesahkan bahawa para pemain masih berada di dalam hotel latihan, di mana semua perlawanan peringkat kumpulan akan diadakan. Setiap pemain disediakan ruang pengasingan mereka sendiri, yang disiapkan dengan sambungan internet dan peralatan yang diperlukan oleh pemain-pemain itu.