Peacekeeper Elite ditangguh sebab peraturan baharu China, akan berlangsung pada 9 September

By syazwanbahri | September 1, 2021

Beberapa liga esukan terkemuka seperti Call of Duty Mobile Masters, Peacekeeper Elite Championship 2021, dan Wild Rift LPL Qualifier sudah ditangguhkan atas sebab penguatkuasaan peraturan baharu di China.

Penganjur liga-liga ini sedang berusaha untuk mematuhi peraturan yang mula dikuatkuasakan ini.

Sepertimana yang anda tahu, badan berkuasa di China mengumumkan bahawa pemain di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk bermain permainan video melebihi 3 jam seminggu.

Sesiapa yang berada di bawah umur tersebut hanya boleh bermain selama 1 jam sehari pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad serta cuti umum pada jam 8 malam ke 9 malam. Peraturan ini dikuatkuasakan demi menlindungi kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak.

Peraturan baru ini sudah menyebabkan beberapa liga ditunda kerana penganjur perlu menjalankan “tugas pematuhan umur untuk para peserta”. Ketiga-tiga liga mempunyai beberapa pemain bawah umur.

Oleh demikian, liga COD Mobile Masters akan ditangguhkan selama seminggu dan akan berlangsung pada September 9-12 dan September 16-19. Selain COD Mobile Masters, pusingan kelayakan Wild Rift LPL Qualifier juga terkesan dan akan dijalankan pada September 11. Liga PUBG Mobile versi China, iaitu Peacekeeper Elite, akan berlangsung pada 9 September hingga 12 September.