Pelukis Konsep Uncharted & The Last of Us Kongsi Nasihat Untuk Berkecimpung Dalam Industri Permainan Video

By Intan Mawarni | November 14, 2019

Sukar untuk bayangkan permainan video tanpa pandangan visual dan arahan seni yang gempak seiring dengan penampilan karakter yang memukau.

To read the English version of this interview, read it on IGN.

Artis konsep karakter (character concept artist), Hong Ly pernah bekerja bersama Naughty Dog untuk permainan popular seperti siri Uncharted dan The Last of Us. Kini, beliau berkhidmat bersama Riot Games sebagai pereka konsep (concept designer), khusus kepada penjenamaan karakter (character branding).

Hong ialah salah seorang artis yang hadir untuk Level Up KL 2019 bagi mengendalikan bengkel fokus kepada rekaan karakter dan berkongsi pengalamannya sendiri dalam menghasilkan visual ringkas dan menarik. Kami sempat berborak dengan Hong tentang pengalamannya bekerja dengan Naughty Dog, petua untuk jadi artis bagus dan lawatan pertama beliau di Malaysia.

Hong Ly

MGO: Hi, Hong Ly! Boleh memperkenalkan diri anda?

Hong Ly: Hi. Saya artis konsep karakter dalam industri permainan video. Saya telah berkecimpung dalam industri ini selama 21 tahun.

MGO: Boleh anda beritahu bagaimana anda dapat diterima masuk ke dalam Naughty Dog dan berapa lama anda bersama syarikat ini?

Hong: Saya banyak bekerja dalam pelbagai jenis projek dan pernah bekerja untuk permainan dipanggil Indiana Jones. Apabila saya memohon untuk bekerja di Naughty Dog, saya sebenarnya tidak dapat masuk untuk pertama kali. Ini adalah sebelum Uncharted 1. Semasa Uncharted 2 sedang bermula dalam pembangunan, mereka memerlukan artis konsep yang mempunyai gaya realistik dan nasib baik, portfolio saya bersesuaian.

Saya berjumpa dengan seseorang di konvesyen Game Developers Conference (GDC). Dia berkata mereka sedang mencari artis konsep karakter dan bertanyakan kepada saya kalau saya berminat untuk memohon. Saya terus mohon dan akhirnya dapat juga.

MGO: Apa perasaan anda apabila anda dapat bekerja dengan Naughty Dog selepas cuba untuk kali kedua?

Hong: Oh, saya tidak dapat diterima masuk untuk permohonan pertama kerana mereka tidak menghasilkan produk yang memerlukan artis konsep realistik. Sebelum ini, Naughty Dog cuma mengetengahkan karakter berbentuk kartun seperti Jax and Daxter dan Crash Bandicoot. Apabila orang Naughty Dog melihat gaya seni saya, saya rasa bertuah untuk dapat kerja ini. 

MGO: Apakah projek yang anda terlibat semasa berada di Naughty Dog?

Hong: Saya banyak terlibat dalam Uncharted 2 dan kemudian, Uncharted 3. Selepas itu, saya juga berada dalam fasa awal Uncharted 4. Saya juga melakukan produksi awalan untuk The Last of Us. 

MGO: Boleh beritahu cara anda hasilkan karya untuk permainan video?

Hong: Bila anda mahu lukis sesuatu rekaan, anda perlu memulakan dengan objektif untuk benda yang anda hendak lukis. Anda dapatkan skrip untuk idea karkater itu. Kemudian, anda buat rekaan berdasarkan cara permainan atau skrip itu.

Kalau karakter itu melompat, anda lukis karakter melompat. Kalau karakter itu laju atau lambat, anda buat rekaan bergantung kepada cara permainan. Ini juga mengikut arah kamera dan kena fikir lakaran ini untuk permainan apa sama ada untuk perspektif first-person, third-person atau sidescroller.

MGO: Berapa lama anda mengambil masa untuk reka karakter? 

Hong: Ini bergantung kepada rekaan karakter itu tersendiri dan tarikh akhir. Saya sudah lama lakukan perkara ini dan saya masih tidak tahu bagaimana untuk anggarkan (gelak). Kadangkala ia mengambil masa beberapa hari dan ada juga ambil masa lama. 

Untuk karakter seperti Nathan Drake, ia ambil masa lama kerana dia adalah watak utama. Semua mata orang akan melihat dia daripada kostum sebenar sehinggalah kostum lain. Maafkan saya kerana saya tidak tahu berapa lama saya melakar rekaan Nathan Drake tetapi ia ambil masa agak lama juga.

MGO: Apakah saat yang anda tidak dapat lupakan bekerja semasa berada di Naughty Dog untuk Uncharted dan The Last of Us?

Hong: Untuk saya terutamanya Uncharted, ianya melihat rekaan karakter anda dalam permainan, poster dan papan iklan. Saya ada lihat satu papan iklan besar setinggi 15 kaki rasanya di Paris. Saya terkejut kerana saya pernah pergi ke Paris untuk tangkap gambar rujukan 8 bulan yang lalu. Sekarang, rekaan itu berada di papan iklan di negara lain. Saya memang teruja!

MGO: Adakah ini pertama kali anda datang ke Malaysia?

Hong: Ya, ini pertama kali saya datang ke Malaysia.

MGO: Apa pendapat anda tentang Malaysia setakat ini? Apa makanan kegemaran anda?

Hong: Saya suka Malaysia terutamanya makanan di sini semua sedap-sedap. Saya masih lagi mengesuaikan diri dengan cuaca di sini yang sangat panas dan lembap. Saya tidak kisah hujan tetapi saya tidak suka kelembapan. Di California, semuanya kering.

Saya banyak makan pencuci mulut di Malaysia. Memang sedap. Saya juga suka buah durian. Saya makan durian di kedai durian baru-baru ini. Saya terkejut Malaysia ada kedai didedikasi untuk durian sahaja. Kedai ini mesti diharamkan di Amerika (gelak).

MGO: Bolehkah anda berkongsi petua untuk artis Malaysia yang teringin untuk bekerja dalam studio terkenal seperti Naughty Dog atau Riot?

Hong: Apa yang seronok sekarang adalah Internet. Anda boleh cari pelbagai tutorial atas talian secara percuma. Anda boleh layari laman sesawang hebat seperti saya sendiri mengendalikan laman dipanggil characterdesigns.com untuk mereka yang mahu rujukan lukisan secara percuma. Terdapat juga laman lain seperti artstation.com, zbrushcentral.com dan video-video YouTube. Apabila anda lihat semua artis-artis ini, anda akan tahu tahap kualiti mereka dan cuba jumpa kualiti tersendiri.

Ramai orang lihat karya seni ini kelihatan mudah tetapi mereka tidak nampak masa yang lama untuk hasilkan sesuatu karya. Cadangan saya untuk jadi artis yang bagus ialah anda perlu berlatih dalam jangka masa yang lama. Sebagai contoh, kalau seorang doktor hanya ambil masa 8 jam sahaja, dia sekadar doktor biasa sahaja. 

Anda kena letak 8 hingga 10 jam melatih diri untuk berlukis. Namun, tempoh itu tidak diperlukan sangat tetapi apa yang anda perlu ada ialah kegigihan dan semangat untuk luangkan masa lama untuk meningkatkan kualiti anda.

Sumber gambar konsep Uncharted & The Last of Us adalah daripada Hong Ly dan boleh lihat lebih lanjut di sini.

Untuk berita lanjut mengenai gaming dan e-sukan, ikuti kami di FacebookTwitter dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.