Pembangun Eximius: Seize The Frontline Memfailkan Notis DMCA Selepas Penerbit Gagal Bayar Keuntungan

By Intan Mawarni | January 22, 2019

Jika korang tercari-cari Eximius: Seize The Frontline pada awal Januari ini di Steam, mesti korang tertanya-tanya kenapa game ini tiba-tiba hilang?

Eximius: Seize The Frontline merupakan sebuah game campuran real-time strategy (RTS) & first-person shooter (FPS) dibangunkan oleh Ammobox Studio dari Malaysia yang baru sahaja dilancarkan secara Steam Early Access pada September lepas. 

Baca lagi: Eximius: Combining Strategy & Shooter Play From Malaysian-based Ammobox Studio

Rupa-rupanya Ammobox Studio terpaksa menggunakan akta Hak Cipta Milenium Digital (DMCA) terhadap game mereka sendiri demi mendapatkan hak edaran daripada penerbit dari United Kingdom, TheGameWall Studios.

Punca sebenar pengeluaran DMCA ini dilakukan adalah kerana penerbit ini tidak memberikan hasil 6 bulan keuntungan sejak game ini dilancarkan pada September lepas. Keadaan menjadi lebih keruh apabila kami mendapati TheGameWall Studios memegang hak akaun Steam untuk Eximius sepenuhnya.

“Tindakan undang-undang sedang dijalankan kerana penerbit hilang tanpa kesan dan tidak membuat sebarang pembayaran ke atas jualan game kepada pembangun. TheGameWall Studios telah melanggar perjanjian penerbitan dan hak untuk edaran telah diberhentikan,” menurut pengumuman di Steam.

Akibat daripada notis yang diusul pada 9 Januari lalu, Eximius dikeluarkan daripada jualan Steam buat sementara waktu. Kini, isu DMCA telah ditangani dengan bantuan Steam yang memberi hak kawalan Steam ID sepenuhnya kepada pembangun asal.

CEO Ammobox Studio, Jeremy Choo memberitahu hanya Steam yang mengeluarkan TheGameWall sebagai penerbit game manakala stor digital lain seperti Green Man Gaming dan Humble Bundle sudah dihubungi dan masih lagi dalam proses rundingan. Kalau korang suka aksi tembak menembak mendebarkan dan mengatur strategi, Eximius memang sesuai untuk korang dan segala pembayaran di Steam disalurkan terus kepada Ammobox mulai sekarang.

Untuk memperoleh hasil keuntungan seperti yang telah dijanjikan oleh penerbit asal, Choo menjelaskan kepada MyGameOn bahawa Ammobox tidak akan mengenakan tindakan undang-undang selanjutnya atas sebab kos guaman yang sangat tinggi tetapi mereka sedang berikhtiar untuk membuat Money Claim Online (MCOL) iaitu satu tuntutan boleh dilakukan sekiranya pihak gagal untuk memberikan bayaran atau servis yang dipersetujui di United Kingdom.

Nampak gayanya Ammobox Studio bukanlah mangsa pertama TheGameWall malahan beberapa studio game pernah terperangkap dalam kancah penipuan syarikat penerbitan ini. Melalui satu komen di Reddit, seorang pembangun bagi game Slinki mendedahkan mereka juga ditipu oleh TheGameWall. Meskipun mereka berjaya mendapatkan hak terbitan game mereka semula pada 2015, mereka gagal untuk mendapatkan hampir kesemua hasil jualan Slinki yang disonglap oleh penerbit.

Buat masa sekarang, kami masih lagi belum menerima apa-apa komen dari TheGameWall.