Pencipta ‘Pulang Insanity’ mendedahkan game pengembaraan fantasi Borneo, ‘Project Buramato’

By Taib Mohamed | August 24, 2021

Permainan seram psikologi Pulang Insanity adalah permainan buatan Indonesia yang cukup popular dan kini mereka ada edisi Director’s Cut. Pembangun permainan itu, Ozysoft baru sahaja mendedahkan permainan video terbaru mereka.

Diinspirasikan dari mitos Indonesia dan kisah dongeng masyarakat Borneo, Project Buramato adalah permainan aksi third-person yang meletakkan penambahan fantasi pada dongeng dan lagenda tempatan.

Projek ini didedahkan melalui video devlog terbaru Ozysoft, yang pada permulaan video terdapat beberapa kemaskini buat Pulang Insanity seperti sokongan alat kawalan dan penambahbaikan FPS. 

Trailer Project Buramato yang diperlihatkan menunjukkan dunia permainan dan apa yang pemain boleh jangkakan daripada permainan ini. 

Project Buramato ini berjaya memasuki program Indigo Game Startup Incubation yang membekalkan pembangun permainan Indonesia dengan dana pembangunan, mentor dan ruang bekerjasama. 

Suasana dan estetik permainan ini seperti diinspirasikan oleh The Legend of Zelda: Breath of the Wild,dengan sedikit ciri-ciri Xenoblade Chronicles dan Ni No Kuni.

Pemain akan mengembara di dunia separa terbuka dengan menampilkan penceritaan yang minimal yang diceritakan melalui persekitaran permainan.

Project Buramato juga menampilkan aksi third-person pantas dengan pemain akan bertarung menentang makhluk mistik. Pertarungan ini dilakukan menggunakan mekanisme berasaskan magis. 

Ozysoft juga mengumumkan bahawa prototaip demo alfa akan dilancarkan pada hujung 2021 dan versi penuh Project Buramato akan dilancarkan pada penghujung 2022 di PlayStation 5, Xbox Series X/S, PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.

Ikuti perkembangan Project Buramato di laman rasmi mereka di SINI.

Artikel ini diterjemah daripada IGN SEA. Untuk artikel penuh sila layari SINI