Phasmophobia: permainan seram terhangat bulan ini

By Burhanudin Zamri | October 14, 2020

Kebelakangan ini, terdapat banyak permainan baharu seperti Fall Guys: Ultimate Knockout, Among Us, dan Genshin Impact yang telah menjadi fenomena besar dalam dunia permainan video. Kini Phasmophobia pula menyertai senarai tersebut.

Phasmophobia merupakan sebuah permainan seram PC yang dilancarkan melalui Steam. Ia dibangunkan dan diterbitkan oleh Kinectic Games. Permainan ini boleh dimain secara biasa atau dengan menggunakan headset VR.

Kemungkinan besar anda sudah mendengar tentang permainan ini kerana ia sedang dimain oleh ramai YouTuber dan streamer terkenal seperti PewDiePie dan Nerd Gaming Malaysia. Ia merupakan permainan seram ala-ala rancangan televisyen Seekers yang dahulunya disiarkan di Malaysia.

Ramai orang yang telah main permainan ini menyatakan bahawa ia antara permainan seram yang paling menakutkan dan menyeronokkan yang mereka pernah main. Oleh itu, penulis rasa lebih ramai pemain PC di Malaysia patut tahu tentang Phasmophobia.

 

Ibarat menjadi ahli kru Seekers

Seperti yang ditulis di atas, permainan ini mempunyai beberapa persamaan dengan rancangan televisyen Seekers dan rancangan-rancangan lain yang memberi fokus terhadap pencarian hantu atau makhluk halus. Para pemain akan bermain sebagai salah seorang kru pasukan pengenalpastian hantu.

Ini bermaksud tugasan anda bukanlah seperti Ghostbusters di mana anda perlu menewaskan atau menangkap hantu. Sebaliknya, anda hanya perlu pergi sebuah lokasi dan mengikut arahan-arahan yang diberikan untuk mengenalpasti jenis-jenis hantu atau makhluk halus yang berada di situ.

Kerja pengenalpastian hantu lebih sukar daripada yang dijangka kerana terdapat pelbagai perkara yang perlu dikenalpasti seperti lokasi kegemaran hantu, penurunan suhu di kawasan berhantu, ayat-ayat yang perlu disebut untuk memanggil hantu, dan banyak lagi.

Satu lagi cabaran yang sentiasa dihadapi oleh semua pemain ialah hantu boleh membunuh para pemain. Oleh itu, anda harus sentiasa berwaspada apabila melakukan kerja ini.

 

Boleh main dengan kawan-kawan

Setakat ini, Phasmophobia masih berada dalam fasa early access dan ia hanya menawarkan tujuh peta sahaja. Walaubagaimanapun, ia tetap dapat memberikan pengalaman permainan yang sukar dilupakan, lagi-lagi apabila anda bermain dengan rakan-rakan.

Ya, benar. Permainan ini boleh dimain secara multi-pemain bersama tiga orang rakan-rakan. Keempat-empat pemain perlu bekerjasama untuk mengenalpasti hantu kerana setiap pemain hanya boleh membawa tiga barang (empat untuk pemain VR) dan hanya boleh berjalan (tiada fungsi lari atau sprint).

Terdapat situasi-situasi yang memerlukan barang atau peralatan tertentu dan anda tidak boleh membawa semuanya sekaligus. Mungkin terdapat rakan anda yang berperanan membawa pembaca suhu dan anda pula yang perlu memegang lampu suluh. Rakan-rakan yang lain mungkin perlu memegang kamera untuk menangkap gambar dan terdapat banyak lagi alat-alat yang perlu digunakan.

Bagi anda yang lebih gemar bermain berseorangan, tidak perlu risau kerana Phasmophobia juga boleh dimain secara solo dari awal hingga akhir.

 

Mikrofon main peranan penting

Salah satu ciri utama Phasmophobia yang membuatkannya sangat seronok dimain ialah anda perlu menggunakan mikrofon dan sistem komunikasi dalam permainan untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

Ada hantu yang hanya boleh dipanggil jika anda memanggil namanya atau menyebut ayat atau perkataan tertentu. Permainan ini akan mengesan suara dan sebutan anda untuk memberikan pengalaman yang realistik.

Menurut beberapa pemain, hantu-hantu dalam permainan ini juga akan mendengar sebutan ayat-ayat yang menunjukkan tahap emosi pemain seperti “Let’s get out of here!” (“Jom keluar dari sini!”) atau “I think it’s gone.” (Aku rasa hantu dah tidak ada”). Mereka akan menggunakan maklumat ini untuk menakutkan anda pada waktu yang tidak disangka.

Anda tidak perlu menggunakan Discord untuk berkomunikasi ketika bermain Phasmophobia kerana penggunaan sistem komunikasi dalam permainan ini sudah mencukupi.

Phasmophobia kini boleh dibeli di Steam pada harga RM31 sahaja. Pada pendapat penulis, ia merupakan satu permainan yang sangat berbaloi dibeli jika anda merancang untuk main bersama rakan-rakan.

Anda sudah main Phasmophobia? Apa pendapat anda? Adakah ia permainan seram paling hebat tahun 2020? Kongsikan pendapat anda di laman Facebook kami!

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.
Saksikan kami di YouTube.