Playdate: Konsol Mudah Alih Terbaru Dengan Engkol Diperbuat Di Malaysia

By Intan Mawarni | May 27, 2019

Syarikat pembangun perisian Mac dan iOS, Panic kini terjun ke pembuatan konsol mudah alih unik yang mempunyai engkol dikenali sebagai Playdate. Lebih menarik lagi, konsol ini adalah buatan Malaysia!

Panic juga terlibat dalam penerbitan game dan pernah menerbitkan game indie terkenal seperti Firewatch. Sekarang, syarikat ini tampil dengan Playdate yang mengambil masa 5 tahun untuk dibina.

Apa itu Playdate?

Saya putar, Halim!

Rekaan luaran Playdate mengembalikan nostalgia bermain konsol mudah alih retro bersaiz kecil seperti Gameboy yang lengkap dengan butang A dan B bersama kawalan D-pad. Untuk menambahkan lagi keseronokan, Panic bekerjasama dengan Teenage Engineering untuk menyertakan sebuah engkol terletak di sebelah kanan konsol.

Dengan penampilan berwarna kuning terang, Playdate mempunyai paparan skrin sebesar 6.8 cm (2.7 inci) dengan resolusi skrin 400 x 240 dan memaparkan game dalam hitam putih sahaja.

Buatan Malaysia

Konsol mudah alih akan datang ini dipasangkan dan diperbuat di Malaysia. Seorang pengguna Twitter, Az Samad membelek-belek gambar Playdate dan menjumpai info ini di bahagian belakang Playdate. 

Perkara ini mendapat perhatian Dave Hayden iaitu seorang jurutera di Panic menjelaskan lebih lanjut tentang pemasangan Playdate yang mana dikilangkan di Sungai Petani, Kedah seperti tertera di bawah:

Dave memberitahu, “Ya, Playdate dipasangkan di Sungai Petani! Penasihat produksi kami mengesyorkan syarikat yang dia pernah bekerja dahulu dan ia serasi dengan projek kami. Kami telah melawat ke kilang beberapa kali sepanjang beberapa tahun lepas dan saya telah jatuh cinta dengan Malaysia. Orangnya ramah! Makanan sedap!”

Game apa akan tiba di Playdate?

Playdate menawarkan barisan 12 game baru yang mana setiap satu game akan dilancarkan secara mingguan tetapi Panic enggan untuk mendedahkan nama untuk kesemua game baru ini.

Panic telah berkolaborasi dengan pelbagai pencipta game seperti Keita Takahashi terkenal dengan siri Katamari Damacy dan ramai pencipta game indie.

Engkol yang digempar-gempurkan mempunyai fungsi tersendiri dalam permainan Playdate. Sebagai contoh, lihat Crankin’s Time Travel Adventure dicipta oleh Keita Takahashi yang bertindak menggerakkan karakter dengan memulas engkol.

Playdate akan dilancarkan pada awal tahun 2020 dengan harga $149 (RM623.56) bersama game misteri akan muncul pada setiap minggu. Kalau korang berminat, korang boleh mula pra-tempah melalui laman rasmi mereka.