PMCO: Pengulas, J Hunter Mengharapkan Skuad Negara Berani Cuba Strategi Baru

By Hazril Md Nor | October 13, 2019

Pengulas e-sukan tanah air, J Hunter atau nama sebenarnya Azrul Anwar mengharapkan pasukan Malaysia bagi permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds mudah alih (PUBG Mobile) supaya tidak takut mencuba strategi baru.

Beliau berkata demikian bagi mengulas prestasi dan persembahan skuad negara yang bermain di liga Asia Tenggara PUBG Mobile Club Open (PMCO) Fall Split di Shanghai, China selama empat minggu.

Musim liga baru saja berakhir sebentar tadi.

“Saya rasa Malaysia sedikit perlahan dalam menyesuaikan diri dengan meta baru dan takut untuk mencuba strategi baru. Dari segi perlawanan tak ada masalah besar.

“Untuk dua pasukan ke Bangkok sebenarnya tiada masalah besar cuma perlu memastikan pergerakan masuk bulatan (cricle) teratur dan serangan ke atas kompaun (rumah) kemas,” katanya.

Selama empat minggu mengulas di sana, Azrul ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong di Malaysia terutama yang mengikuti perjalanan kariernya sebagai seorang pengulas.

“Bagi peminat di Malaysia, terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kontinjen negara dan juga pengulas,” katanya. 

Grand Final PMCO SEA Musim Luruh akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada awal November nanti dan mengumpulkan 16 pasukan teratas bertarung merebut RM418,600. 

Yoodo Gank bersama ViP Squad layak ke kejohanan itu selepas meraih kedudukan ke-13 dan ke-16.

Bagaimanapun, Yoodo turut layak ke Global Final di Kuala Lumpur kerana memperoleh kedudukan paling teratas dalam kalangan pasukan Malaysia lain yang bertanding di liga Asia Tenggara PMCO Fall Split.