PMCO: ‘PUBG Mobile Mempunyai Potensi Yang Besar Di Asia Tenggara’ – VSPN

By Hazril Md Nor | June 12, 2019

Liga Asia Tenggara PUBG Mobile Club Open (PMCO) baru saja berakhir minggu lalu dan penulis berpeluang menemu ramah Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang juga Ketua Versus Programming Network (VSPN) Global, Danny Tang.

VSPN adalah penganjur bersama untuk liga Asia Tenggara PMCO di China.

Untuk pengetahuan semua, Tencent (pembangun PUBG Mobile) bekerjasama dengan VSPN untuk mengembangkan ekosistem e-sukan di negara itu.

“Tencent sudah lama berkolaborasi dengan kami dan kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan mereka. Sebagai platform yang bekerjasama dengan game publishers dan game developers, kami bukan saja menganjurkan kejohanan e-sukan tapi juga menyediakan kandungan (content) untuknya,” katanya.

VSPN sudah pun beroperasi dan menganjurkan kejohanan berskala besar yang memfokuskan pada mobile. Antaranya, Liga Profesional Honor of Kings di China pada 2016, kejohanan/liga PUBG dan PUBG Mobile serta liga Clash Royale.

“Kami rasakan e-sukan adalah pasaran yang besar. Walaupun di China perkembangannya perlahan pada mulanya namun ia berkembang dengan pesat apabila pasaran mobile mula mengambil alih.

“Kita boleh saksikan ramai pemain terdiri daripada generasi muda. Bukan saja mereka yang hardcore tapi juga kasual dan pemain wanita. Pendek kata, peranti pintar lebih mudah diakses dan ini mengubah demografik dalam e-sukan yang membantu meningkatkan industri mobile gaming dan mobile esports,” katanya.

Cabaran utama

Penganjuran Liga Honor of Kings, KPL

Sebagai platform besar beroperasi di rantau Asia dan juga Asia Tenggara, VSPN juga tidak terlepas dalam menghadapi cabaran menganjurkan kejohanan e-sukan.

“Cabaran utama dalam penganjuran mobile esports adalah kerana ia industri baru. Untuk banyak perkara (penganjuran, teknikal dan sebagainya), kami buatnya pertama kali dan pada skala besar jadi ada banyak aspek perlu dijaga.

“Sebagai contoh, Honor of Kings. Pertama kali kami bawakan liga sebesar itu kepada komuniti di China dan ia adalah sesuatu yang sangat mencabar dari pelbagai aspek. Boleh kata yang setiap kejohanan dan liga mempunyai cabaran baru. Ini kerana kami juga fokus membawakan kandungan premium kepada peminat.

“PMCO adalah liga yang pertama kali kami anjurkan untuk judul Battle Royale,” katanya.

Ada potensi besar untuk berkembang

Kata Danny, Tencent memainkan peranan penting dalam mobile esports.

“Mereka mencipta permainan mudah alih mempunyai asas e-sukan yang stabil dan mereka juga membantu dari segi kewangan untuk meningkatkan sistem mobile esports di negara ini.

“Kerjasama dengan mereka juga membolehkan kami terus membawa kelainan dalam industri dengan keupayaan untuk memastikan e-sukan mempunyai nilai dalam pasaran dan menganjurkan esports arena. Kami juga menawarkan servis pelbagai antaranya menjadi penyedia platform kepada komuniti bagi memahami permainan mudah alih menerusi kandungan dan mengikuti perkembangan talent-talent dalam e-sukan,” katanya.

Danny berkata, Asia Tenggara adalah pasaran yang ditumpu sekarang dan ia mempunyai potensi besar seperti di China.

“Saya percaya PUBG Mobile akan terus berkembang di rantau Asia Tenggara. Buat masa sekarang, kami belum ada pelan spesifik untuk pasaran Malaysia tapi kami sangat berbangga dengan apa yang dikecapi oleh komuniti di sini. Ia sangat positif dan penuh dengan sokongan terhadap permainan tersebut (PUBG Mobile),” katanya.

—–

Liga Asia Tenggara PMCO berlangsung selama lima minggu mengumpulkan sebanyak 24 pasukan dari Asia Tenggara iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Filipina merebut prizepool USD$26,000 (RM107,980) yang mana USD$5,000 (RM20,765) diberikan secara mingguan kepada kedudukan 6 teratas sahaja dalam carta liga.

3 pasukan Malaysia sudah pun layak ke pusingan seterusnya. 

Kejohanan Spring Championship di Jakarta, Indonesia itu mempertandingkan wang tunai terkumpul RM435,000 dan akan menentukan siapa layak berentap di Grand Final diadakan di Berlin, Jerman kelak. Ketika itu mereka akan bertemu wakil dari Amerika Utara, Eropah, India dan lain-lain!