PMCO: ‘Saya Cabar Diri Saya Untuk Sampai Ke Tahap Ini’ – MissFarr

By Hazril Md Nor | June 9, 2019

Berada selama lima minggu di Shanghai, China untuk berentap dalam liga Asia Tenggara PUBG Mobile Club Open (PMCO), NorFarah Shahira Mohd Nizam (MissFarr), 22 tahun akui banyak dugaan dihadapinya. Missfar adalah  ahli kumpulan Junior Talent yang juga salah satu daripada lima pasukan Malaysia bertanding di sana.

“Ada rasa tertekan lebih-lebih lagi apabila berada dalam skuad mixed team (bercampur lelaki). Lelaki dalam bidang game ni memang cepat tangkap, jadi saya kena adapt cepat sebab dalam satu pasukan dengan mereka.

“Saya anggap ia sebagai satu cabaran untuk jadi lebih matang dalam hidup kerana ini jalan yang saya pilih.

“Sebagai satu-satunya gadis dalam kumpulan, saya rasa saya lebih tegas dengan mereka. Memang sebagai kapten, itu adalah salah satu tanggungjawab,” katanya.

Missfarr juga berkata sepanjang berada di sana, dia banyak berinteraksi dengan keluarga dan peminat di tanah air.

“Tipulah kalau tak rindu mak, ayah dan keluarga. Masa mula-mula tu, memang rasa janggal sebab tak kenal sesiapa dekat sini dan saya seorang saja perempuan.

“Tapi lepas dah biasa, ramai yang jadi kawan baru. Saya pun selalu buat live di Facebook untuk tanya khabar peminat Junior Talent yang tak putus bagi sokongan pada kami.

“Mereka juga ada bagi tips dalam game, bagi nasihat dan bercerita tentang perkembangan semasa. Seronok berbual dengan mereka,” katanya.

Kata Missfar, minatnya pada game terutamanya PUBG Mobile adalah kerana ia meredakan tekanan dan dapat mengisi masa lapang selain bersifat kompetitif.

“Main game secara kasual dan kompetitif ada bezanya. Sebagai perempuan, apa yang saya belajar ialah mental kena kuat sebab kadang-kadang perempuan ni sifatnya sensitif. Bila dah masuk dalam bidang e-sukan atau mana-mana bidang didominasi lelaki ini, kita kena kuat dalam segala hal.

“Yang penting, kena terus berlatih dan tetapkan matlamat kita,” katanya.

Bagi pemain wanita di luar sana, Missfar berkata, you have nothing to lose. Tidak perlu segan untuk mencuba sebab kalau ada rezeki tak kemana.

“Kalau nak buat pasukan mixed team, gunakan peluang tersebut untuk kongsi pengalaman dan serlahkan bakat,” katanya.

Artikel berkaitan: Chicken Dinner pertama milik Malaysia

Artikel berkaitan: Junior Talent WWCD sekali lagi

Ikuti kami di Facebook dan Instagram.

Liputan ini dibawakan khas oleh: