PMCO: [RASMI] Erynn Dari Skuad Bapak Ah Akan Bermain Untuk AROV Bagi Mengganti Smokey

By Hazril Md Nor | October 5, 2019

[KEMASKINI] Erynn kini bermain untuk AROV sehingga tamat PMCO SEA Fall Split. Di dalam satu posting di Facebook, AROV berterima kasih kepada VSPN dan Tencent serta MasterRamen yang membolehkan Erynn menjadi pemain ganti.

—-

Keluarga lebih utama. 

Itu situasi yang melanda AROV Esports apabila pemainnya di Liga Asia Tenggara PMCO Fall Split, Mohamad Umarul Hakimi (Smokey) terpaksa pulang ke tanah air pada pagi tadi berikutan menerima khabar ayahnya menghidap penyakit kanser tahap 4.

Pengurus AROV, Danial Rusli berkata, ia adalah khabar yang tidak dijangka namun dalam apa jua keadaan sekali pun, perlu utamakan keluarga terlebih dahulu.

“Lebih baik kalah bersebab dari menang tapi kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Apa pun keluarga lebih utama.

“Saya hormati keputusan VSPN yang membenarkan Smokey pulang dan menanggung kos perjalanannya namun, saya rasakan liga yang berlangsung selama empat minggu seperti ini sepatutnya membolehkan pasukan membawa pemain simpanan (sub),” katanya.

Dalam masa yang sama, mereka terpaksa meneruskan perlawanan mendatang dengan tiga pemain tapi kini mereka sudah mencari jalan untuk kemasukan ahli keempat untuk stand-in iaitu Erynn dari Bapak Ah.

“Tencent dan VSPN beri kebenaran untuk kami membawa pemain simpanan dari pasukan Bapak Ah iaitu Erynn dan kami telah pun mendapat kebenaran dari MasterRamen.

“Tetapi ia masih tidak rasmi kerana belum ada keputusan hitam putih dari penganjur.

“Apa-apa berita lanjut, kami akan umumkan kemudian,” katanya.

Dia juga mengharapkan bapa Umarul cepat sembuh dan meminta penyokong untuk sentiasa memberi sokongan walau apa pun rintangan dihadapi AROV.

—-

Bagi liga PMCO, lima skuad negara, VIP Squad, Junior Talent, Yoodo Gank, AROV Esports dan Team Secret bertanding bermula 17 September hingga 13 Oktober ini dan mereka akan berlawan selama 4 minggu sebelum ke playoffs pada November nanti.

Dalam kejohanan yang membabitkan beberapa negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam ini akan menguji kehebatan bakat tempatan bertanding merebut hadiah wang tunai terkumpul RM129,310.

FOTO: VSPN