Projek NFT Ubisoft Quartz gagal meraih keuntungan melebihi RM1600

By syazwanbahri | December 23, 2021

Kebelakangan ini, kita dapat lihat beberapa ikon industri permainan video seperti Discord, GSC Game World dan lain lagi ingin menceburi bidang NFT dalam permainan.

Namun, langkah ini tidak diterima oleh peminat secara positif, malah dikecam lagi oleh pengguna dan peminat masing-masing. Ini menyebabkan Discord dan GSC Game World membatalkan niat penyepaduan NFT ke aplikasi mereka.

Tetapi, Ubisoft meneruskan rancangan mereka dengan pelantar NFT Ubisoft Quartz yang dilancarkan tidak beberapa lama lalu.

Ubisoft Quartz adalah sebuah pelantar pasaran NFT yang berkerjasama dengan Tezos, sebuah pelantar blockchain, dan menggunakan matawang kripto Tezons.

Menurut Liz Edwards, Artis Watak Apex Legends, pasaran Ubisoft Quartz tidak menerima sambutan dan hanya terdapat lebih kurang 15 transaksi dalam masa terdekat. Nilai transaksi ini mencapai setakat 94.49 ꜩ (tezons) yang bernilai sekitar AS$396 (RM1667).

Punca kegagalan Ubisoft Quartz terdiri daripada beberapa faktor kritikal yang ditekankan oleh penulis Forbes, Paul Tassi. Pertama sekali, konsep NFT ini tidak memberi impak yang bermakna kepada pemain jadi pemain tidak peduli akan kewujudan NFT di dalam permainan Ubisoft ini yakni Ghost Recon Breakpoint. Tambahan pula, Ghost Recon Breakpoint bukanlah permainan Ubisoft yang terkenal dalam sirinya.

Selain itu, bagi yang betul-betul meminati NFT, mereka mempunyai pelbagai pilihan yang lebih mudah. Hal ini kerana, untuk memberi nilai atau minting, pengguna perlu memainkan Ghost Recon Breakpoint melebihi 600 jam untuk melayakkan diri untuk memberi nilai NFT itu.

Ini mungkin langkah awal Ubisoft untuk mengenali pasaran NFT dan mungkin mereka mempunyai rancangan mereka tersendiri pada waktu hadapan.

Sumber rujukan: Forbes