Ramai tidak sukakan wajah baru Bandai Namco

By Taib Mohamed | October 4, 2021

Bandai Namco yang cukup dikenali dengan logo warna oren, kuning dan merah, kini akan bertukar wajah, berkuatkuasa bermula April 2022. 

Selain bertukar logo, mereka juga mengubah misi dan visi syarikat atau ‘Purpose’ syarikat dengan satu kenyataan. “Logo kami sekarang menggambarkan gabungan Bandai dan Namco yang dihasilkan semasa dua syarikat ini bergabung. Ia akan digantikan dengan logo baru yang menunjukkan tujuan baru kami.”

Mengenai tujuan, melalui sebuah kenyataan, mereka memperkenalkan slogan terbaru syarikat iaitu “Fun for All into the Future.” 

“Bandai Namco wujud untuk berkongsi impian, kegembiraan dan inspirasi dengan orang seluruh dunia. Menghubungkan orang dan masyarakat melalui keseronokan produk dan servis hiburan yang unik, kami berusaha untuk menghasilkan masa depan lebih cerah untuk semua.”

Logo baharu ini diinspirasikan daripada motif ‘speech bubble’ atau ‘Fukidashi’ di dalam bahasa Jepun, yang menggambarkan potensi buat jenama mereka untuk menghubungkan orang diseluruh dunia dan memberi inspirasi kepada mereka dengan idea yang menarik.

Fukidashi juga melambangkan budaya manga Jepun yang cukup terkenal dan digunakan untuk berkomunikasi. 

Namun, tidak semua orang sukakan perubahan. Begitu juga beberapa peminat syarikat itu. 

Selepas kenyataan perubahan itu dilakukan, Beberapa peminat mula mengkritik rekaan logo baru di media sosial, termasuk menyatakan logo itu sebagai mangsa terbaru ‘oversimplify’.

Bahkan ada juga beberapa peminat yang menyatakan slogan baru mereka kedengaran sangat membosankan dan hambar. 

Agak kurang bernasib baik untuk Bandai Namco melancarkan logo baru yang memberikan kesan sebaliknya daripada tujuan asal mereka. Sekurang-kurangnya ia berjaya menyatupadukan komuniti walaupun bukan dalam bentuk yang diharapkan mereka. 

Selain itu, Bandai Namco juga akan mempamerkan projek terbaru mereka melalui Tokyo Game Show.

Artikel ini disunting daripada IGN SEA dan Polygon