“Rasy bukan saingan saya dalam posisi Roamer,” – Leomurphy

By Hazrul Md Nor | August 16, 2021

Leomurphy adalah nama yang tidak asing lagi di dalam arena e-sukan Mobile Legends Indonesia, dikatakan sebagai salah seorang roamer/tanker terhebat di dalam permainan peranti mudah alih popular itu.

Beliau menunjukkan prestasi yang begitu baik pada peringkat awal liga musim ketujuh namun momentum beliau mula merosot selepas Moonton melancarkan kemaskini terbaru ketika pertandingan itu berlangsung.

Namun begitu, Leomurphy tidak juga mengaku kalah dan selalu ingin memberikan usaha yang terbaik buat pasukannya. Kehadiran Rasy baru-baru ini dikatakan mampu mengubah nasibnya yang memegang posisi roamer di dalam Alter Ego.

Rasy dibawa masuk ke pasukan Alter Ego dari Onic Esports baru-baru ini dan beliau sempat muncul di dalam kejohanan NMA musim ketiga. Mereka berjaya masuk ke peringkat akhir dan tewas di tangan pasukan EVOS Legends, juara musim ketujuh MPL Indonesia.

Ramai netizen menyangkakan bahawa Leomurphy mungkin sudah tidak mempunyai apa-apa role di dalam pasukan itu selepas kemunculan Rasy di NMA. Menjawab akan soalan itu, Laporan ONE Esports mendedahkan reaksi Leomurphy tentang perkara itu.

“Kami tidak bersaing, kami membuat latihan scrim pun berganti-ganti pemain, keputusan itu ada di tangan jurulatih. Siapa yang terbaik, dia yang main,” ujarnya.

Sumber: ONE Eesports