Rebult Keyboards berkolaborasi dengan Royal Selangor untuk menghasilkan kekunci piuter durian

By syazwanbahri | February 8, 2022

Bagi peminat papan kekunci mekanikal, terdapat pelbagai cara untuk menghias dan menyesuaikan papan kekunci masing-masing agar kelihatan unik. Itu salah satu matlamat Rebult Keyboards. Sebelum ini, syarikat papan kekunci tempatan, Rebult Keyboards pernah menyumbang RM11,700 demi pemuliharaan hidupan liar tempatan.

Kali ini, Rebult Keyboards berkerjasama dengan Royal Selangor untuk menghasilkan kekunci artisan yang paling unik setakat ini.

 
 
 
View this post on Instagram

A post shared by Rebult Keyboards (@rebultkeyboards)

Dihasilkan daripada piuter, kekunci diinspirasikan oleh raja buah ini akan dihasilkan sebanyak 200 biji kekunci sahaja. Jadi, ia amat terhad dan kemungkinan besar tidak akan dihasilkan lagi pada masa hadapan.

Kekunci piuter kemasan satin ini dihasilkan daripada acuan induk piuter dan diukir dengan teliti oleh pengukir Royal Selangor. Setiap pembelian akan dibungkuskan dalam kotak khas dari Royal Selangor dan disertakan kad pengesahan dengan nombor siri unik tersendiri.

Oleh disebabkan ini kali pertama sesuatu seperti ini dilakukan, Rebult Keyboards menyatakan bahawa terdapat sedikit ketidaksempurnaan yang diisytiharkan sebagai boleh diterima.

Sebagai contoh, tapaknya mungkin tidak berpusat dan terdapat jurang antara kekunci ini dan kekunci di sebelah apabila terpasang di papan kekunci. Ini tidak dapat dielakkan kerana cara acuan dibina. Terdapat juga sedikit limpahan di antara tapak kekunci dan motif durian itu.

Namun demikian, seni seperti ini memerlukan kepakaran yang amat tinggi dan oleh itu kekunci durian piuter ini bernilai RM359 dan boleh didapati melalui laman web Rebult Keyboards di sini.

Jualan akan bermula pada  19 Februari jam 10 malam dan akan mengamalkan dasar ‘siapa cepat dia dapat’.

Sumber rujukan: Rebult Keyboards