[Review] Cyberpunk 2077 – banyak aktiviti di Night City, banyak juga masalah teknikal

By Burhanudin Zamri | December 17, 2020

Ulasan ini dilakukan di PC. Cyberpunk 2077 juga telah dilancarkan di PlayStation 4 (PS4), Xbox One, dan Google Stadia.

Hampir lapan tahun selepas trailer acah pertamanya dikeluarkan oleh CD Projekt Red (CDPR), Cyberpunk 2077 akhirnya telah tiba. Sama seperti banyak laman media permainan video antarabangsa, kami di MyGameOn tidak dibenarkan membuat ulasan penuh sebelum tarikh pelancaran. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk membuat ulasan selepas ia dilancarkan.

Antara sebab utama mengapa keputusan ini dibuat ialah kerana versi ulasan yang diberi kepada kami tidak sama dengan versi yang dilancarkan kepada anda semua. Selain itu, kami juga tidak dibenarkan untuk mengambil gambar atau merakam video pengalaman permainan kami jika mengeluarkan ulasan sebelum tarikh pelancaran.

Satu lagi permintaan pelik daripada CDPR ialah ulasan hanya boleh dibuat berdasarkan versi PC. Kami tidak dibenarkan menerbitkan ulasan tentang versi PS4 iaitu versi yang kami terima.

Ini menunjukkan CPDR mencuba sedaya upaya untuk memastikan semua peminat Cyberpunk 2077 tidak menerima maklumat terperinci tentang versi akhir permainan ini, terutamanya untuk pemain konsol yang telah pra-tempah judul ini. Setelah bermain Cyberpunk 2077 selama lebih daripada 50 jam, penulis memahami (tetapi tidak bersetuju) mengapa keputusan ini dibuat.

 

Permainan yang masih belum siap

Sebelum penulis berkongsi dengan ada tentang aspek-aspek seperti kualiti jalan cerita, permainan, grafik, dan lain-lain, penulis ingin memberi fokus terhadap masalah terbesar yang meracuni Cyberpunk 2077: Permainan ini penuh dengan masalah teknikal seperti bugs dan glitches.

Daripada jam pertama bermain Cyberpunk 2077 sehingga cutscene terakhir, penulis menemui berpuluh-puluh bugs dan glitches. Ada yang sekadar merosakkan immersion seperti masalah grafik dan ada juga yang sangat menjengkelkan sehingga membuatkan permainan menjadi kurang memuaskan.

Untuk memudahkan pengalaman membaca ulasan ini, penulis akan menyenaraikan beberapa masalah teknikal yang ditemui semasa bermain:

  • NPC dan musuh secara tiba-tiba menggayakan t-pose.
  • Polis spawn dari belakang apabila melakukan jenayah.
  • Watak utama menjadi botak apabila memakai topi.
  • Mulut NPC tidak bergerak apabila bercakap.
  • Dialog bertindih apabila bercakap dengan NPC dan menjawab panggillan NPC lain.
  • Tidak boleh menembak senjata apabila menggunakan aim down sights.
  • Nilai nyawa watak pemain sentiasa menunjukkan kosong dan tidak berubah apabila mengguna item sembuhan atau ditembak.
  • Sari kata masih kekal di skrin selepas tetapan sari kata ditutup.
  • Animasi reload senjata tidak berlaku tetapi senjata tetap reload.
  • NPC dan objek terapung.

… dan banyak lagi.

Apa yang membuatkan perkara ini lagi mengecewakan ialah ini semua ditemui di versi PC, versi yang paling stabil. Versi PS4 mempunyai lebih banyak masalah akibat kegagalan CDPR untuk mengoptimumkan permainan ini di konsol tersebut.

Baru-baru ini CDPR mengeluarkan kenyataan tentang isu ini dan mereka berjanji akan terus mengeluarkan patch sehingga Februari 2021 untuk memperbaiki masalah-masalah yang ditemui oleh pemain. Pada waktu ini, penulis percaya Cyberpunk 2077 memang tidak berbaloi dibeli pada harga penuh.

 

Jalan cerita disokong oleh skrip yang bagus

Dalam Cyberpunk 2077, kita bermain sebagai watak V yang boleh direka penampilannya dan pemain boleh memilih sama ada untuk menjadikan V lelaki atau perempuan. Pada permulaan permainan, kita diberi tiga pilihan berbeza untuk menentukan latar belakang V: Nomad, Street Kid, atau Corpo.

Ketiga-tiga pilihan ini menuntukan titik permulaan kisah hidup V tetapi selepas jam pertama bermain, semuanya akan menjurus ke arah jalan cerita utama yang sama. V akan melakukan sebuah rompakan bersama rakannya Jackie dan mencuri sebuah biochip yang mengandungi personaliti atau roh digital Johnny Silverhand, watak yang dimain Keanu Reeves.

Selepas itu, kita perlu bekerjasama dengan pelbagai watak-watak menarik untuk mengeluarkan biochip tersebut daripada V kerana program biochip ini akan membunuh V dan Johnny akan mengambil alih tubuh badan V.

Skrip dan dialog dalam Cyberpunk 2077 ditulis dengan baik. Personaliti Johnny yang negatif terhadap syarikat korporat besar dapat dirasa melalui ayat-ayatnya yang penuh dengan kebencian. Persahabatan V dengan Jackie juga menghasilkan beberapa detik yang membuat penulis rasa sangat sedih.

Watak-watak lain yang muncul dalam jalan cerita utama seperti Judy, Takemura, dan Rogue, semuanya berjaya mewujudkan atmosfera dunia cyberpunk yang meyakinkan. Setiap watak mempunyai kepercayaan dan prinsip moral masing-masing yang berkait rapat dengan kehidupan mereka di Night City.

Satu perkara yang tidak disukai penulis ialah kadang-kadang dialog terasa agak membosankan kerana watak-watak bercakap dengan banyak tetapi tidak meneruskan perbualan.

Pada penpadat penulis, jalan cerita dan dialog dalam Cyberpunk 2077 adalah antara kekuatan-kekuatan utama permainan ini.

 

Lebih mementingkan aksi daripada RPG

Penulis menasihatkan anda supaya menghilangkan semua tanggapan bahawa Cyberpunk 2077 ialah sebuah permainan role-playing game (RPG) dunia terbuka. CDPR sendiri telah mengubah nada mereka tentang perkara ini dan kini lebih seleasa memanggil Cyberpunk 2077 sebuah permainan aksi pengembaraan (action adventure) dunia terbuka.

Aspek-aspek RPG seperti pemilihan dialog dan cara-cara menyelesaikan misi sangat terhad apabila dibandingkan dengan permainan-permainan RPG dunia terbuka lain seperti Fallout: New Vegas dan Kingdom Come: Deliverance.

Contohnya, kebanyakkan pemilihan dialog hanya memberi satu atau dua cara untuk meneruskan perbualan dan pilihan-pilihan yang diberi tidak begitu berbeza antara ketiga-tiga latar belakang V. Nampaknya CDPR hanya menggunakan semula sistem dialog yang disediakan dalam The Witcher 3: Wild Hunt.

Dari segi permainan asas pula, ia mirip seperti siri permainan Deus Ex. Anda boleh memilih sama ada untuk menyelasaikan masalah secara terus dan agresif, atau menyelinap secara senyap. Kedua-dua cara ini juga disokong oleh sebuah sistem penggodaman yang agak menarik.

Sistem penggodaman dalam permainan ini membenarkan anda untuk melakukan perkara-perkara seperti kuasa magik dalam permainan RPG lain. Anda boleh membuat musuh terbakar secara tiba-tiba, membuat mereka menembak musuh lain, dan banyak lagi.

Terdapat juga sistem crafting yang membenarkan anda untuk menghasilkan senjata dan pakaian sendiri dan juga menaik taraf item anda. Dalam pengalaman permainan penulis, sistem ini tidak ditonjolkan dengan baik kerana lebih mudah untuk menenumi senjata dan pakaian baharu yang lebih bagus kualitinya dengan menewaskan musuh sahaja.

Kepelbagaian senjata ialah salah satu kekuatan Cyberpunk 2077. Terdapat senjata yang pelurunya boleh “melantun” dari dinding ke musuh dan ada juga senjata yang mempunyai peluru berpandu. Penulis sangat seronok bereksperimen dengan jenis-jenis senjata yang terdapat dalam permainan ini.

Malangnya, semua kekuatan-kekuatan ini dijatuhkan apabila mengambil kira kecerdasan buatan atau AI yang begitu lemah.

Watak-watak musuh sering berhenti bertindak ketika bertarung atau berada dalam situasi tembak-menembak. Watak-watak polis muncul secara tiba-tiba dan tidak akan mengejar pemain apabila melarikan diri. NPC yang memandu kereta pula terus berhenti memandu dan menyebabkan kesesakan trafik apabila terdapat kenderaan berhenti di tengah jalan.

Ini semua menunjukkan CDPR memang tidak sempat memberi perhatian terhadap butiran-butiran penting permainan ini dan terpaksa mengeluarkannya dalam keadaan yang tidak siap.

 

Tidak disyorkan bermain di PS4 dan Xbox One

Kepada pemain PC di luar sana yang mempunyai komputer yang berkuasa, penulis yakin mereka akan menikmati kualiti grafik Cyberpunk 2077 yang sangat cantik. Walaubagaimanapun, pemain PS4 dan Xbox One semestinya tidak akan berpuas hati.

Versi konsol nampaknya menghadapi masalah tekstur yang kabur, kadar bingkai yang sangat rendah sehingga rasa pening apabila bermain, dan crash yang kerap berlaku. Pendek kata, anda patut meminta bayaran balik jika anda telah membeli versi konsol.

Apabila bermain di PC pada tetapan grafik tinggi, anda akan menikmati sebuah permainan yang berjaya menggambarkan bandar futuristik yang penuh dengan lampu neon dan kenderaan canggih. Pada pendapat penulis, Night City adalah antara dunia permainan yang paling cantik yang pernah diciptakan.

Walaupun penulis sendiri tidak mempunyai komputer yang cukup berkuasa untuk menetapkan ray-tracing, Cyberpunk 2077 masih mempunyai kualiti tekstur dan pencahayaan yang sangat mengagumkan. Jika isu-isu teknikal dalam kategori visual diperbaiki pada masa depan, permainan ini layak digelar antara permainan paling cantik pada waktu ini.

 

Produk yang mengecewakan daripada studio hebat

Adakah Cyberpunk 2077 berbaloi dibeli pada harga penuh? Sememangnya tidak.

Ini bukan permainan yang dijanjikan oleh CDPR. Penulis bukan sahaja rasa kecewa dengan isu-isu teknikal, malah kualiti aspek-aspek lain seperti kekurangan kebebasan RPG dan AI yang sangat teruk.

Mungkin Cyberpunk 2077 akan menjadi permainan yang lebih memuaskan pada masa depan apabila ia menerima penambahbaikkan daripada CDPR. Pada waktu ini, ia memang sebuah permainan yang belum siap dan mempunyai banyak kelemahan.

 

Kekuatan:

  • Jalan cerita utama yang agak menarik.
  • Skrip dan dialog ditulis dengan baik.
  • Lakonan suara yang bagus daripada semua watak.
  • Kualiti grafik yang cantik di PC.

Kelemahan:

  • Penuh dengan masalah teknikal.
  • Beberapa babak dialog yang membosankan.
  • Ketiadaan elemen-elemen RPG yang memuaskan.
  • AI yang sangat teruk.
  • Kualiti keseluruhan versi konsol sangat mengecewakan.

SKOR AKHIR: 30/100