[Review]: Final Fantasy VII Remake, penuh aksi dan berbaloi ditunggu

By Hazril Md Nor | April 30, 2020

Sebenarnya, bukan mudah untuk hasilkan sesuatu karya yang boleh mengimbau kenangan lama dan pada masa sama memberikan pengalaman baru kepada pemain. Namun, formula dari Square Enix nyata berjaya dengan judul terbaru mereka, Final Fantasy VII Remake.

Kod review disediakan oleh SIE dan Square Enix. Ini adalah pengalaman penulis bermain judul Final Fantasy buat kedua kali.

 

Jalan cerita yang mudah faham

 

Bagi sesiapa yang belum pernah menyentuh atau mengenal judul Final Fantasy, saya boleh katakan anda akan mudah tertarik dengan teknik penceritaan disampaikan dalam judul remake ini. Ia mudah difahami. 

Bermula dari pemberontakan ke atas syarikat yang tamak, Shinra ingin menggunakan sumber asli dan merosakkan planet, saya tertarik dengan permulaan permainan ini yang menunjukkan Cloud sebagai mercenary terus menangkap perhatian penonton dengan pesona dan pedang Buster yang besar tersebut.

Nyata, penceritaannya bukanlah memfokuskan pada protagonis juga tapi watak lain turut menerima treatment yang sama. Cloud, Tifa, Aerith dan lain-lain dikembangkan menjadi karakter yang disukai dan bukan berbentuk one-dimensional.

Yang menariknya lagi, jalan ceritanya tak bersifat terlalu fast forward. Sepanjang tempoh bermain, saya dapat merasakan rasa kecewa protagonis dan bagaimana rakan-rakannya memainkan peranan juga dalam menentukan hala tujunya. Apabila anda rasa Cloud ingin terus buat keputusan sendiri, nyata karakter lain dalam Avalanche terutamanya Jessie mempunyai impian lain dan secara tidak langsung mempengaruhi jalan cerita.

Ini membuatkan jalan cerita progresif dan tidak bersandarkan pada karakter Cloud saja. Di sebalik kisah utama yang ingin diterapkan, anda juga akan disajikan dengan beberapa kisah yang kurang impak namun patut diberi perhatian dalam permainan ini.

Saya tak dapat membandingkannya dengan permainan asal kerana tak pernah mencubanya namun yang pasti, versi Remake ini dikatakan mempunyai teknik penceritaan agak sama dengan versi klasik jadi originality permainan video ini tidaklah lari jauh.

Walaupun begitu, versi klasik mempunyai tempoh penceritaan lebih panjang namun di remake ini, ia ditambahkan plot baru dan sedikit filler.

 

Setiap perlawanan dirasakan berbaloi

Saya pernah mencuba judul Final Fantasy 15 dahulu dan nyata ia mempunyai sedikit persamaan dari segi flow perlawanan RPG ini. Sebagai contoh, saya tak dapat mengawal pergerakan atau tindakan karakter yang bertindak secara automatik tapi kali ini, kelonggaran diberikan untuk menggunakan watak ini dalam mod menyerang.

Proses bertukar karakter juga sangat mudah dengan beberapa butang dan tidak memakan masa. 

Paling menarik, setiap tetakan dirasakan berbaloi kerana memenuhkan bar ATB yang boleh digunakan untuk abiliti unik, spells atau items. Sewaktu menggunakan command menu, masa diperlahankan dan saya dapat memilih untuk menggunakan abiliti apabila bar dipenuhkan.

Pun begitu, ada butang shotcut untuk terus menggunakan abiliti tanpa membuka command menu.

Lebih menarik kali ini, FF7 Remake memperkenalkan mod perlawanan berbeza sebagai contoh, jika saya menekan butang tiga segi, Cloud akan memasuki mod Punisher (sedikit perlahan namun mempunyai serangan kuat). Musuh yang dihadirkan juga makin kuat jadi dalam permainan ini saya banyak mengelak dan perlu lakukannya berulang kali.

Setiap perlawanan dirasakan sangat berbaloi dengan musuh mempunyai kelemahan berbeza dipanggil staggered. Lain musuh lain cara untuk menaikkan bar stagger ini. Sebagai contoh, saya perlu gunakan magis untuk melemahkan mereka ataupun menetak bahagian anggota berbeza bagi menaikkan bar ini. Mendapatkan staggered adalah penting untuk extra damage kepada musuh.

Setiap ketua musuh yang ditampilkan membuatkan saya banyak berfikir cara untuk menewaskan mereka. Ini membuatkan perlawanan dirasakan tak berulang dan memberi cabaran berbeza setiap kali.

Berbeza dengan FF15 yang dimainkan, FF7 Remake menggalakkan anda menggunakan karakter lain mengikut situasi. Sebagai contoh, Barret boleh menembak musuh terbang, Cloud pula berguna untuk naikkan stagger dan Tifa boleh mengenakan serangan bertubi-tubi ke arah musuh dengan kelemahan didedahkan.

Pabila Tifa berjaya didapatkan, saya banyak bertukar ke karakter ini pada mulanya kerana setiap penumbuknya dirasakan sakit dan lebih cool untuk gunakan penumbuk melawan musuh!

 

Senjata dan materia

Cara permainan setiap karakter ini berlainan dan sebab itulah adanya fungsi Materia diperkenalkan. Apabila mengumpul orb ini, saya boleh menjadikan sesuatu karakter itu sebagai mage, healer atau tank dan ini membuka kepada pelbagai cabang taktikal dalam permainan.

Kemudahan taktikal ini menyebabkan saya banyak bertukar Materia antara ahli party. Terdapat juga materia yang diperoleh dari karakter, contohnya Ifrit daripada Jessie. Walaupun damage tak begitu besar, namun Ifrit boleh menjadi tank dan alih perhatian musuh.

Dari segi senjata, setiap daripadanya unik kerana terikat dengan abiliti kekal. Sebagai contoh, Aerith menerima skill Sorcerous Storm apabila dilengkapi Silver Staff (dengan proficiency maksimum). Jadi setiap penukaran senjata dirasa seperti eksperimen baru dengan keberkesanannya mengikut situasi dan cara permainan saya.

Kekuatan karakter pula bergantung pada bilangan SP yang digunakan pada senjata. Sebagai contoh, ia boleh menguatkan serangan magis atau fizikal, mahupun kekuatan tertentu (menyembuh apabila musuh tewas atau mengenakan damage lebih tinggi jika nyawa tinggi).

 

Misi yang okay, boleh ditambah baik lagi

Dalam Remake ini, saya mula ditugaskan dengan misi sampingan sewaktu berada di Midgar Slums. Di sini, saya rasakan agak janggal apabila Cloud, seorang mercenary terpaksa menyelesaikan misi yang kurang memberi impak dari segi penceritaan dan ia adalah optional. Bermaksud ia takkan menjejaskan plot asal permainan.

Setiap misi di kawasan ini nyata agak mudah namun ia tak memberikan cabaran begitu sukar kepada saya. Walaupun misi berlainan tapi disebabkan objektifnya lebih kurang sama, terdapat beberapa misi dirasakan berulang di kawasan sama.

Ini adalah penambahan untuk ‘memanjangkan’ tempoh permainan tapi bagi saya, ia patutnya lebih mencabar dan tidak terlalu remeh seperti membunuh tikus, atau mencari kucing yang melarikan diri dari tuannya.

Bagaimanapun, ada misi yang memberikan pengetahuan intel musuh dan ia sangat berguna untuk saya siasat kelemahan musuh dengan keupayaan ini. 

Sebenarnya, penting untuk menyiapkan misi sampingan sehabis baik kerana jika terlepas, saya dapati ganjaran diberikan berbentuk senjata, aksesori unik lain adalah rugi jika diabaikan.

 

Grafik yang begitu memukau

Perbandingan terdekat dari segi grafik patut diberikan kepada FF15 kerana bagi saya, ia adalah judul paling latest dengan grafik menarik. Pun begitu, versi Remake ini mempunyai pesona tersendiri terutamanya bila bercakap tentang model dan objek dalam dunia Midgar.

Rekaan Cloud sendiri dirasakan seperti hero yang boleh bertahan melawan musuh kuat kerana setiap ekspresi dilakar begitu baik sesuai dengan personaliti. Contoh lain adalah Tifa yang kelihatan baik dan innocent namun rekaannya boleh menjadikan dia tampak tegas dalam beberapa situasi.

Kawasan Midgar slums pula boleh dikatakan direka dengan baik menggambarkan kawasan yang kurang sektor pembangunan. Setiap selok beloknya digubah dengan teliti dan apabila saya melihat ke atas, boleh menyaksikan keunikan infrastruktur bandar metropolitan Midgar.

Terasa juga kadang-kadang berada dalam dunia Alita: Battle Angel. Sungguh mengagumkan!

Dari segi alih suara, nyata tak mengecewakan kerana setiap karakter mempunyai suara yang unik kepada personaliti mereka dan tidak cringe. Saya menyukai hampir setiap dialog yang dipertuturkan.

 

Remake yang berbaloi ditunggu

Walaupun tak mempunyai pengalaman bermain versi asal, namun seperti gamer lain, saya rasa ia adalah Remake yang ditunggu-tunggu dan ia tak mengecewakan. Sistem perlawanan dan penekanan diberi kepada perkembangan karakter oleh Square Enix kali ini wajar diberi pujian.

Setiap musuh yang muncul juga memberi pengalaman perlawanan berbeza dan seronok menerokai setiap pelosok Metropolitan Midgar dengan kejutan tersendiri. Unsur magis juga wujud tanpa perlu tampak terlalu berusaha untuk mencantikkan plot permainan.

Bagi saya, ia adalah RPG yang berjaya mencipta fenomena tersendiri tanpa perlu terikat dengan kecermelangan dicapai oleh versi klasik dahulu.