[Review] Nioh 2 – Mencabar Tapi Memuaskan

By Burhanudin Zamri | March 17, 2020

Ulasan dibuat di konsol PlayStation 4 (PS4).

“Terlalu susah sampai rasa macam nak baling controller!”

Itu ayat yang kerap digunakan oleh mereka yang pernah main Nioh, sebuah permainan video yang dibangunkan oleh Team Ninja dan diterbitkan oleh Koei Tecmo. Tiga tahun sudah berlalu dan kini sebuah sekuel telah tiba untuk PS4.

Dilancarkan pada 13 Mac 2020, Nioh 2 menjanjikan kesusahan yang sama seperti Nioh sebelumnya. Persoalannya, adakah ia sebuah judul yang berbaloi untuk peminat Nioh dan juga pendatang baru kepada siri ini?

Baca ulasan ini yang ditulis setelah penulis meluangkan sekitar 20 jam bersama permainan video fantasi ini yang berlatarbelangkangkan zaman Sengoku di Jepun.

 

Tidak Perlu Tahu Tentang Nioh Pertama

Walaupun mempunyai angka “2” dalam tajuknya, jalan cerita Nioh 2 sebenarnya sebuah prekuel kepada Nioh pertama. Pemain akan membuat watak rekaan sendiri dan sama seperti Nioh pertama, pemain akan bertemu dengan individu penting yang hidup semasa zaman Sengoku seperti Oda Nobunaga, Honda Tadakatsu, dan ramai lagi.

Secara ringkasnya, watak pemain merupakan seorang anak kepada pasangan yokai (raksasa atau hantu) dan manusia. Pada penghujung sebuah misi memburu yokai, watak ini hampir hilang kawalan ke atas dirinya akibat darah yokai dalam badannya tetapi diselamatkan oleh Tokichirou, seorang pengumpul batu sihir Amrita.

Untuk membayar balik jasa Tokichirou, watak utama menyertainya dalam perjalanan untuk menjual batu-batu Amrita tersebut. Dalam perjalanan itu, Tokichirou dan watak utama bertemu dengan Oda Nobunaga yang mahu menakluk dan menyatukan seluruh negara Jepun.

Dari situ bermulanya jalan cerita utama Nioh 2 di mana pemain akan berusaha untuk membantu Nobunaga mencapai cita-citanya dan menewaskan semua musuhnya, tidak kira sama ada manusia ataupun yokai.

 

Nak Buat Watak Rurouni Kenshin Pun Boleh

Nioh pertama memaksa pemain untuk main sebagai William. Penulis amat bersyukur kerana dalam Nioh 2, pemain boleh mencipta watak sendiri menggunakan sistem rekaan watak yang penuh dengan tetapan seperti tahap kerinting rambut, kemancungan hidung, dan banyak lagi. Selain itu, tiada lagi isu seperti ‘gender lock’, boleh pilih watak lelaki atau perempuan!

Apabila berhadapan dengan musuh yang terlalu kuat, pemain boleh berubah menjadi yokai. Sistem rekaan watak ini memang bagus kerana ciri-ciri penampilan mod yokai juga boleh diubah oleh pemain. Sangat cool!

Sejurus selepas membuat watak sendiri, pemain akan belajar beberapa cara permainan asas melalui sebuah tutorial ringkas. Kalau ingin menjadi samurai tulen, pemain boleh memilih untuk menggunakan katana sebagai senjata utama semasa melakukan tutorial.

Terdapat senjata-senjata hebat lain seperti tonfa yang berkesan memusnahkan stamina musuh dan kusarigama yang boleh menarik musuh ke jarak dekat ibarat Scorpion dari Mortal Kombat.

 

Lebih Susah Daripada Sekiro?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Nioh 2 tetap susah dan akan membuatkan ramai pemain mahu baling controller. Walaubagaimanpun, penulis berpendapat Nioh 2 sebenarnya lebih mudah berbanding Nioh pertama. Pemain cuma perlu bersabar dalam mempelajari setiap mekanisme pertarungan dan corak gerakan musuh.

Cara permainan Nioh 2 boleh dikatakan 90% mirip Nioh pertama. Satu fungsi baru yang diperkenalkan ialah Burst Counter dan menguasai teknik ini mustahak untuk membuatkan Nioh 2 sebuah pengalaman yang menyeronokkan dan kurang menjengkelkan.

Musuh-musuh Nioh 2 mempunyai sebuah serangan yang dipanggil Burst Attack yang selalunya boleh membunuh pemain dengan satu pukulan. Burst Counter adalah cara untuk tangkis Burst Attack tetapi tetap ada Burst Attack yang tidak boleh ditangkis.

Cara untuk tahu sama ada sebuah Burst Attack boleh ditangkis atau tidak? Jawapannya boleh dijumpai dalam mutiara kata “pengajaran yang paling berkesan datang daripada kegagalan”.

Selain daripada fungsi Burst Counter dan Burst Attack, mereka yang telah main Nioh pertama akan terbiasa dengan cara permainan Nioh 2. Jika anda tidak pernah main Nioh pertama, anda perlu mengambil masa untuk pelajari setiap fungsi pertarungan dan juga pelbagai sistem seperti kuasa yokai, ciri-ciri senjata, perisai, dan banyak lagi.

Walaupun sistem-sistem dalam Nioh 2 agak rumit, kelebihannya adalah pemain diberikan kebebasan untuk menentukan gaya pertarungan tersendiri. Mahu menjadi samurai yang pantas dan boleh melakukan kebolehan ninja seperti membaling shuriken? Boleh!

Mahu menggunakan kuasa sihir untuk jadikan diri anda kebal sambil menggunakan kapak besar sebagai senjata utama? Pun boleh! Pilihannya di tangan anda dan jangan risau jika anda menyesal dengan pilihan. Ada peluang untuk tetapkan semula (respec) semua ciri-ciri watak anda.

Tidak seperti judul-judul dalam siri Dark Souls, Nioh 2 menyediakan beberapa tutorial untuk mengajar pemain tentang fungsi pertarungan. Anda boleh akses tutorial untuk cara lawanan senjata biasa, kuasa yokai, kuasa sihir, dan ninjutsu. Apabila anda sudah mahir pada tahap asas, tutorial peringkat lebih tinggi boleh diakses.

 

Grafik Cantik Dikorban Demi Framerate

Kebanyakan permainan video konsol dimainkan pada framerate 30fps dan selalunya kadar ini mencukupi. Dalam Nioh 2, kesilapan walaupun hanya sesaat boleh menyebabkan kekalahan. Oleh itu, Team Ninja memberikan anda pilihan untuk melihat grafik yang cantik atau main pada kadar 60fps.

Jika anda memilih Movie Mode dalam menu tetapan, sistem akan cuba kekalkan Nioh 2 pada resolusi 1920×1080 dan framerate 30fps. Kalau anda memilih Action Mode pula, resolusi akan dikurangkan untuk memastikan framerate kekal pada 60fps.

Terdapat sebuah mod ketiga yang dipanggil Movie Mode (Variable Frame Rate) yang cuba mengekalkan kualiti grafik yang tinggi dan framerate pada sekitar 30fps hingga 50fps.

Pada pendapat penulis, mod yang paling sesuai untuk main Nioh 2 ialah Action Mode. Framerate 60fps membolehkan pemain untuk mengelak setiap serangan dan bertindak balas dengan pantas. Kalau masih ingin mengekalkan kualiti grafik, Movie Mode (Variable Frame Rate) juga boleh diterima.

Penulis berharap Nioh 2 akan dilancarkan untuk PC dan juga PlayStation 5 (PS5) pada masa depan kerana PS4 tidak dapat menonjolkan kehebatan permainan video ini sepenuhnya. Alangkah indahnya jika dapat bermain dengan tetapan grafik tertinggi pada kadar 60fps.

 

Easy Mode Melalui Mod Multi-Pemain Dalam Talian

Bagi mereka yang masih was-was untuk mencuba Nioh 2 kerana tahap kesusahannya, ada cara untuk membuatkannya menjadi lebih senang. Caranya ialah untuk main secara dalam talian dan mendapatkan bantuan daripada pemain lain.

Selain memberikan peluang kepada pemain yang kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri, fungsi permainan dalam talian juga membolehkan kita mengadakan sesi menewaskan bos bersama rakan-rakan.

Kalau tidak ada mikrofon untuk bercakap, anda masih boleh berkomunikasi menggunakan isyarat seperti melakukan thumbs down untuk beritahu rakan-rakan anda mereka teruk dalam mengelak serangan.

 

Sekuel Yang Hampir Sempurna

Satu perkara yang membuatkan Nioh 2 sedikit mengecewakan bagi seorang peminat Nioh pertama ialah tidak banyak perubahan dilakukan kali ini. Masalah seperti sistem kawalan yang kurang selesa kadangkala menyebabkan tersalah tekan butang masih wujud.

Selain itu, terdapat banyak jenis musuh baharu tetapi boleh dikatakan separuh daripada musuh-musuh yang muncul adalah musuh yang sama dalam Nioh pertama. Ini membuatkan Nioh 2 menjadi terlalu senang bagi mereka yang sudah biasa dengan permainan video seperti ini.

Dari aspek audio pula, lakonan alih suara Bahasa Inggeris membuatkan penulis mahu membaling controller kerana agak menjengkelkan dan terlalu mencuba. Penulis menggalakkan anda memilih audio Bahasa Jepun yang jauh lebih baik dan natural.

Walaubagaimanapun, penulis tetap berpendapat Nioh 2 adalah sebuah sekuel yang hebat dan berbaloi untuk dibeli. Penambahbaikkan yang dilakukan kali ini tidak begitu banyak tetapi fungsi seperti Burst Counter membuatkan semua perlawanan menjadi lebih menyeronokkan.

Seperti yang anda lihat dalam gambar-gambar dalam artikel ini, Team Ninja berjaya menghasilkan kualiti visual yang realisitik. Rekaan yokai baru juga menampilkan ciri-ciri yang lebih menyeramkan.

Jika anda mencari sebuah permainan video aksi yang mencabar dan memberikan anda pelbagai cara untuk menyahut cabaran tersebut, Nioh 2 adalah permainan video yang sesuai. Pada awalnya, anda mungkin akan menangis tetapi di penghujung perjalanan ini, anda juga akan menangis. Tangisan kebahagiaan.