[Review] No Straight Roads – game buatan Malaysia penuh aksi dan irama

By Burhanudin Zamri | August 28, 2020

Setelah lebih kurang tiga tahun menunggu, akhirnya permainan video buatan Malaysia No Straight Roads telah tiba. Ia dibangunkan oleh studio tempatan Metronomik dan diterbitkan oleh Sold Out.

Studio tersebut ditubuhkan oleh Wan Hazmer yang sebelum ini berperanan sebagai Pereka Utama Final Fantasy XV di Square Enix dan Daim Dziauddin, bekas Artis Konsep Street Fighter V di Capcom.

Permainan ini berkisahkan tentang dua pemain muzik rock iaitu Mayday dan Zuke yang ingin menewaskan empayar EDM yang diketuai oleh Tatiana. Empayar EDM bersikap zalim terhadap penduduk bandar Vinyl City dan juga mengharamkan muzik rock di bandar tersebut.

Unsur unik utama permainan ini ialah ia menggabungkan elemen aksi dan muzik untuk mewujudkan gaya permainan yang mementingkan kebolehan pemain untuk mengikut rentak muzik.

Adakah No Straight Roads permainan yang boleh dibanggakan gamers di Malaysia? Jom baca ulasan ini untuk ketahui jawapannya!

 

Konsep unik bergabung citarasa Malaysia

Hampir semua watak-watak dalam No Straight Roads disuarakan oleh pelakon suara tempatan. Dua watak utama Mayday dan Zuke masing-masing disuarakan oleh Chan Su Ling dan Steven Bones. Salah seorang watak bos bercakap hampir sepenuhnya dalam Bahasa Melayu dan disuarakan oleh Alfred Loh.

Jalan cerita No Straight Roads mempunyai konsep yang sangat unik tetapi perkembangan cerita mengikut aturan yang mudah diramal. Oleh itu, kebanyakkan plot twist dalam jalan cerita ini langsung tidak mengejutkan penulis.

Kekuatan No Straight Roads terletak pada watak-wataknya dan juga dialog. Kedua-dua watak utama menunjukkan perkembangan perwatakan yang membuatkan mereka mudah untuk disukai. Setiap watak bos mempunyai personaliti tersendiri dan semuanya (kecuali seorang) disuarakan dengan kualiti permainan video antarabangsa.

Pada pendapat penulis, lakonan suara watak Yinu sedikit lemah berbanding watak-watak lain. Dia bercakap Bahasa Inggeris dengan loghat Malaysia tetapi penyampaian lakonannya tidak memberi impak yang diharapkan. Walaubagaimanapun, penulis tetap menitiskan air mata pada penghujung perlawanan bos Yinu kerana ia menunjukkan babak sedih yang dilakonkan dengan sangat baik.

Terdapat banyak watak-watak sampingan yang menunjukkan identiti Malaysia dalam permainan ini. Antara watak sampingan pertama yang ditemui ialah Aunty yang membuka kedai makan berdekatan tempat tinggal Mayday dan Zuke. Kedai makan tersebut menghidangkan nasi campur dan juga roti canai.

 

Permainan irama yang agak mencabar

Permainan No Straight Roads mudah untuk dipelajari tetapi sangat mencabar untuk dikuasai. Aspek pertarungan judul ini ibarat permainan Devil May Cry tetapi diringkaskan. Anda hanya menggunakan satu butang untuk menyerang, satu butang untuk mengelak, satu butang lompat, dan satu butang untuk menggunakan alat muzik.

Mayday merupakan watak yang lebih perlahan pergerakannya tetapi serangannya mengenakan damage yang lebih tinggi. Zuke pula watak yang lebih pantas tetapi pukulannya lemah berbanding Mayday. Permainan ini boleh dimain secara multi-pemain dengan seorang lagi pemain dan jika anda bermain seorang, anda boleh bertukar-tukar antara kedua-dua watak pada bila-bila masa.

Walaupun kawalan asas No Straight Roads sangat mudah, ia mempunyai kedalaman untuk mereka yang berani bereksperimen. Terdapat serangan musuh yang boleh ditangkis jika dipukul pada waktu yang tepat. Alat muzik yang dimain oleh Mayday (gitar) dan Zuke (gendang) menghasilkan kuasa-kuasa berbeza apabila melakukan kemahiran transformasi pada alat-alat lain.

Aliran permainan judul ini merupakan salah satu kelemahannya kerana ia hanya akan mengambil lebih kurang tujuh jam untuk dihabiskan dan dalam tempoh tersebut, anda akan mengulangi aliran permainan yang lebih kurang sama untuk semua bos. Anda hanya perlu menyelesaikan beberapa level yang mempunyai musuh biasa lalu bertarung dengan bos.

Walaubagaimanapun, No Straight Roads memang direka untuk dimain secara berulangan. Penulis yakin dengan perkara ini kerana setiap bos akan dikalahkan pada kali pertama pada tahap kesusahan Normal. Selepas itu, pertarungan mereka boleh dimain semula pada tahap kesusahan yang lebih mencabar seperti Hard dan Crazy. Terdapat juga mod permainan Parry Only.

Pada pendapat penulis, ini merupakan rekaan permainan yang bagus kerana ia memberi peluang kepada pemain-pemain untuk menguji tahap kemahiran mereka. Satu lagi perkara hebat ialah musuh bos kadangkala mengubah cara perlawanan mereka di tahap kesusahan berbeza.

 

Muzik mantap dan rekaan visual menarik

Ciri utama No Straight Roads ialah muzik dan memang tidak dinafikan Metronomik menghasilkan karya audio yang hebat dalam judul ini. Setiap lagu tema bos sedap didengar dan menjadi muzik latar yang seronok didengar semasa perlawanan bos.

Setiap bos mempunyai keunikan masing-masing dari segi genre muzik. Terdapat bos yang menggabungkan muzik rap dan dikir barat dan ada juga bos yang menggabungkan k-pop dan ketenteraan. Banyak idea menarik dipertunjukkan dalam No Straight Roads dan penulis memberi pujian tertinggi kepada Metronomik kerana ia menunjukkan mereka sangat kreatif.

Cuma ada satu kelemahan yang penulis rasa patut dinyatakan iaitu terdapat perlawanan bos di mana muzik latar dan bunyi-bunyi pertarungan tidak serasi. Ia menjadikan sesetengah pertarungan bos kurang memuaskan kerana pemain tidak dapat mencari rentak dan irama untuk beraksi.

Dari segi kualiti grafik dan rekaan visual, penulis rasa terdapat banyak persamaan antara judul ini dan Psychonauts (salah satu permainan kegemaran penulis). Rekaan watak-watak dan persekitaran kesemuanya mempunyai personaliti tersendiri. Warna juga digunakan dengan kreatif untuk menunjukkan emosi dan tema.

Apabila bermain di PC, kualiti grafik No Straight Roads sememangnya tidak setanding permainan AAA di luar sana. Ini bukan bermakna ia tidak mempunyai grafik cantik. Sebaliknya, penulis merasakan rekaan visual yang menarik dalam judul ini membuatkan ia lebih puas dipandang berbanding permainan yang mementingkan realisme.

Walaupun terdapat tekstur yang beresolusi rendah di beberapa tempat dan watak, ia tidak mengurangkan kecantikan keselurahan permainan ini.

 

Karya yang boleh dibanggakan peminat permainan video di Malaysia

No Straight Roads bukan satu permainan video AAA yang berskala besar dan mempunyai kandungan ratusan jam tetapi ia tetap sebuah permainan video yang bagus untuk sebuah studio tempatan baharu.

Memang benar judul ini ada kekurangannya tetapi ia juga mempunyai banyak idea unik yang jarang ditonjolkan dalam permainan-permainan lain yang dibangunkan oleh studio besar di luar sana.

Jika anda meminati permainan video yang lebih mementingkan rekaan audio berbanding tahap realisme kualiti grafik, anda memang patut cuba No Straight Roads!

 

SKOR AHKIR: 70/100

No Straight Roads telah dilancarkan di PC (Epic Games Store), PlayStation 4 (PS4), Xbox One, dan Nintendo Switch.