Review: Oppo A91 – Fon Bawah RM1,000, Best Untuk Gaming

By Burhanudin Zamri | March 28, 2020

Unit review disediakan oleh Oppo Malaysia.

Persaingan antara telefon pintar di ruangan pertengahan (mid-range) semakin hari semakin sengit. Pada pertengahan bulan Mac 2020, Oppo telah melancarkan Oppo A91 dan penulis telah menggunakan fon tersebut selama dua minggu. Ia dijual pada harga pasaran RM999 dan mempunyai pelbagai ciri-ciri yang menarik untuk fon yang berharga sebegitu.

Sebelum penulis memulakan ulasan tentang fon Oppo A91, mari kita lihat dahulu senarai spesifikasi asas fon ini:

  • OS: ColorOS 6.1.2, berdasarkan Android 9
  • CPU: MTK MT6771V
  • GPU: ARM Mali G72 MP3 900MHz
  • RAM: 8GB
  • Storan dalaman: 128GB
  • Bateri: 4,025mAh dengan pengecasan pantas VOOC Flash Charge 3.0 (20W)

 

Prestasi Yang Memuaskan

Untuk sebuah fon yang berharga bawah RM1,000, Oppo A91 mampamerkan prestasi yang sangat memuaskan. Fon ini berkebolehan untuk kekal buka banyak aplikasi sekaligus tanpa mengalami sebarang penurunan kelajuan dari segi prestasi. Perkara ini semestinya hasil penggunaan RAM sebanyak 8GB. Selama tempoh penggunaan fon ini, penulis langsung tidak menghadapi masalah mana-mana aplikasi tertutup sendiri.

Satu ciri yang membuatkan fon ini hebat ialah baterinya. Walaupun 4,025mAh merupakan kapasiti yang kecil bagi sesetengah orang, ia tidak menjadi masalah kerana teknologi pengecasan pantas VOOC Flash Charge 3.0 dalam fon ini sangat pantas. Untuk mengecas dari 0% sehingga 100$, ia hanya mengambil masa lebih kurang satu jam. Penulis tidak langsung merasa kepanasan ketika memegang fon ini semasa ia sedang dicaj tetapi sedikit haba dapat dirasa jika cuba bermain permainan mudah alih ketika mengecas.

Dari segi sekuriti pula, Oppo A91 tidak jauh beza berbanding dengan kebanyakan fon lain pada hari ini. Ia mempunyai pengesan cap jari dalam skrin dan juga pengimbas muka. Teknologi imbasan muka yang terdapat dalam fon ini sangat berkesan sehingga dapat mengesan muka pengguna serta merta walaupun dalam keadaan yang sedikit gelap. Malangnya, pengesan cap jari tidak begitu hebat. Kadang kala ia dapat mengesan cap jari pengguna dengan pantas dan pada waktu lain pula ia akan mengambil beberapa saat.

 

Sangat Sesuai Untuk Gaming

Tidak seperti kebanyakan fon flagship yang canggih dan mahal, Oppo A91 masih mengekalkan sebuah bicu audio (audio jack). Di samping itu, fon ini juga datang bersama sepasang fon telinga (earphones) percuma yang selesa dipakai tetapi tidak mempunyai kualiti audio yang begitu bagus. Bagi anda yang mementingkan kualiti pembesar suara, anda tidak perlu risau. Fon ini mempunyai pembesar suara yang kuat dan jelas, sesuai untuk main game dan tonton video.

Untuk menguji prestasi gaming fon ini, penulis main beberapa permainan mudah alih yang popular di Malaysia seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile, Call of Duty: Mobile (CODM), dan juga Asphalt 9: Legends.

MLBB, PUBG Mobile, dan CODM dapat dimain pada kadar framerate 60fps sambil menggunakan tetapan grafik tertinggi. Asphalt 9 pula dihadkan pada 30fps tetapi tetap boleh dimain pada tetapan grafik tinggi. Bila bermain dengan sambungan internet yang pantas dan stabil (data dan wifi), penulis langsung tidak mengalami masalah lagging.

Paparan Oppo A91 juga patut dipuji. Ia merupakan sebuah skrin AMOLED beresolusi FHD+ (2400 x 1080). Walaupun ia tidak sehebat skrin Super AMOLED yang boleh didapati di fon Samsung Galaxy A31 yang berharga lebih kurang sama, ia tetap cerah dan jelas. Ini memastikan pengguna merasa sangat puas bukan sahaja semasa main game tetapi juga semasa menonton video.

Oppo memasarkan fon ini sebagai sebuah peranti yang mempunyai kelulusan Widevine L1 yang membolehkan tontonan HD penuh Netflix dan Amazon Prime. Penulis mendapati tontonan di Netflix hanya dipaparkan pada resolusi SD dan menu tetapan Netflix mengesahkan fon ini hanya mempunyai sijil Widevine L1.

Untuk kepastian, penulis memeriksa semula maklumat digital rights management (DRM) Oppo A91 dan nampaknya fon ini sememangnya mempunyai kelulusan Widevine L1. Penulis telah menghubungi pihak Oppo untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.

Penulis akan kemaskini ulasan ini apabila pihak Oppo telah memberikan respon.

Kemaskini 03/04/2020:

Wakil Oppo telah memberitahu penulis bahawa terdapat kesilapan dalam iklan pemasaran Oppo A91. Walaupun laman web rasmi Oppo menyatakan Oppo A91 mempunyai sijil Widevine L1 untuk tontonan HD penuh Netflix dan Amazon Prime, sebenarnya ia hanya mempunyai sijil Widevine L3.

Oleh itu, pengguna Oppo A91 hanya boleh menonton Netflix dan Amazon Prime pada kualiti standard definition.

 

Kamera Yang Mantap

Telefon pintar yang mempunyai lebih daripada dua kamera sudah tidak asing lagi bagi para pengguna zaman ini. Oppo tidak mahu kalah dari segi kamera, oleh itu mereka meletakkan empat kamera di Oppo A91: kamera utama 48MP, kamera sudut luas 8MP, dan dua kamera 2MP yang digunakan untuk gambar makro dan sebagai sensor kedalaman.

Kamera utama 48MP tersebut menghasilkan gambar yang jelas dan kualiti warna juga sangat memuaskan. Walaubagaimanapun, kamera sudut luas tidak menunjukkan kualiti gambar yang bagus tetapi masih boleh diterima. Untuk pengambil gambar jarak dekat (macro), penulis agak terkejut dengan kualiti gambar yang dihasilkan kerana ia sangat bagus.

Gambar yang diambil menggunakan kamera utama 48MP.

Bagi anda yang suka mengambil selfie, fon ini mempunyai kamera hadapan 16MP yang memuaskan. Ia mampu mengambil gambar yang jelas dalam keadaan cerah. Fon ini mempunyai mod potret untuk kamera hadapan dan belakang tetapi penulis menggalakkan anda menggunakan kamera belakang sahaja untuk gambar potret kerana gambar potret yang diambil menggunakan kamera hadapan sangat kabur.

Untuk video pula, Oppo A91 hanya mampu merakam pada dua resolusi iaitu 1080p dan 720p. Kedua-duanya dikunci pada 30fps. Kamera utama mempunyai teknologi pengstabilan Electronic Image Stabilization (EIS). Kualiti pengstabilan ini biasa-biasa sahaja. Tidak teruk tetapi tidak begitu bagus juga.

 

Hanya Satu Kelemahan Ketara

Pada pendapat penulis, kelemahan terbesar Oppo A91 ialah sistem operasinya iaitu ColorOS 6.1.2. Sebagai seorang yang pernah menggunakan fon Samsung dan OnePlus, pengalaman mengguna ColorOS tidak mencapai jangkaan penulis. Antara perkara yang sedikit menjengkelkan ialah pautan yang dihantar melalui WhatsApp atau emel tidak membuka aplikasi yang berkaitan secara otomatik. Jika penulis menekan pautan Instagram, ia akan membuka Instagram di Google Chrome dan bukan aplikasi Instagram.

Apabila menaip sesuatu mesej, tidak kira menggunakan aplikasi apa, penunjuk yang digunakan untuk ubah titik penulisan selalunya tidak dipaparkan. Ini membuat aktiviti menulis menggunakan fon ini sedikit menyusahkan. Penulis perlu menekan di tulisan untuk beberapa saat untuk memunculkan penunjuk tersebut.

Selain kelemahan-kelemahan yang terdapat pada ColorOS, Oppo A91 mempunyai banyak ciri-ciri yang bagus. Pada pendapat penulis, ia merupakan sebuah telefon pintar yang sangat memuaskan. Untuk sebuah fon berharga RM999, prestasi yang ditunjukkan membuatkan ia sangat berbaloi.

Kelebihan

  • Paparan AMOLED FHD+ yang cerah dan jelas.
  • Prestasi gaming yang lancar dan cantik.
  • Teknologi pengecasan pantas VOOC Flash Charge 3.0 memastikan anda tidak perlu caj untuk tempoh yang lama.

Kelemahan

  • ColorOS mempunyai beberapa ciri yang menjengkelkan.
  • Kualiti rakaman video yang tidak begitu hebat.